Tiga warga Thailand guna selimut totok sorok dadah RM1.5 juta

Tiga warga Thailand guna selimut toto sorok dadah RM1.5 juta

MUHAMAD Zaki Harun (tengah) menunjukkan rantai emas yang dirampas bersama dadah dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) Kota Bharu,Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Taktik licik tiga warga Thailand menyorokkan dadah jenis pil yaba dan herion bernilai RM1.5 juta di dalam selimut toto terbongkar selepas di tahan dalam dua serbuan berasingan di Rantau Panjang, di sini pada semalam serta kelmarin.

Dalam serbuan pertama kelmarin pada pukul 7.45 malam, polis berjaya merampas 96,00 biji pil yaba bernilai RM1.05 juta makanala serbuan kedua merampas 1.39 kilogram (kg) dadah jenis heroin yang bernilai RM460,000.

Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, serbuan pertama pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia 31 tahun yang berada di atas sebuah motosikal di kawasan tepi parkir Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Rantau Panjang di sini.

“Pemeriksaan lanjut  yang dijalankan ke atas satu bungkusan toto yang dibawa suspek telah menemukan 96,000 biji pil yaba yang bernilai lebih RM1.05 juta.

“Berdasarkan ujian saringan yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis metamfetamin dan tidak mempunyai rekod lampau,”katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, siasatan awal mendapati suspek masuk ke negara ini menggunakan laluan sah.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai hubungan dengan sindiket pengedar dadah di negeri dan kesemua pil yaba yang di bawa masuk itu dipercayai untuk di pasarkan ke luar negara.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula 2 sehingga 8 Oktober ini dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.

Muhamad Zaki memberitahu, serbuan kedua pada pukul 2.45 petang polis berjaya menahan seorang lelaki dan wanita warga Thailand di kawasan tanah lapang pangkalan Haram Che Kassim, Rantau Panjang di sini semalam.

Katanya, kedua-dua suspek yang berusia 41 dan 28 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 2.45 petang.

“Pemeriksaan yang dijalankan ke atas suspek wanita telah menemukan 230 botol plastik disyaki dadah jenis heroin yang bernilai RM460,000 di dalam bungkusan toto.

“Turut dirampas barangan kemas dan wang tunai bernilai RM11,690.Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 9 Oktober ini dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,”katanya.

Muhamad Zaki berkata, siasatan awal mendapati kesemua dadah berkenaan dipercayai untuk dipasarkan di negeri ini untuk kegunaan seramai 13,905 penagih.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya