Tiga sahabat berdepan hukuman mati, edar dadah 4.7 kg - Utusan Malaysia

Tiga sahabat berdepan hukuman mati, edar dadah 4.7 kg

TIGA sahabat termasuk seorang warganegara Bangladesh, Shahinur (hadapan), Chin Kai Xian dan Chan Yi Hui dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas tuduhan mengedar 4.7 kg dadah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tiga sahabat termasuk seorang warganegara Bangladesh didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru, di sini hari ini atas tuduhan mengedar dadah, minggu lalu.

Tertuduh, Chin Kai Xian, 40, Chan Yi Hui, 33, dan Shahinur, 41, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tiga sahabat itu didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 4.7 kilogram kira-kira pukul 2.30 pagi di Jalan Setia Tropika 1/8, Taman Setia Tropika pada 4 Oktober lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39(B) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mereka berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, hendaklah dihukum dengan sebatan yang tidak kurang daripada 15 sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noraqilah Ahmad Rofaie, manakala Kai Xian dan Shahinur diwakili Mohd. Daud Ismail sementara Yi Hui tidak diwakili peguam bela.

Mahkamah menetapkan 16 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan kimia.

Sebelum ini, media melaporkan polis negeri ini menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang cuba mengeksport bahan terlarang itu ke luar negara dengan menggunakan perkhidmatan kurier.

Modus operandi sindiket terbabit adalah dengan beroperasi dalam sebuah kedai tayar di Kempas dan  menyembunyikan dadah jenis syabu dalam soket lampu LED sebelum dipasarkan ke luar negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN