Tiga bot nelayan asing ditahan rompak hasil laut - Utusan Malaysia

Tiga bot nelayan asing ditahan rompak hasil laut

HASIL tangkapan yang dirampas susulan penahanan tiga buah bot nelayan Vietnam bersama 37 kru kerana disyaki menceroboh dan merompak hasil laut pada kedudukan 15.1 batu nautika timur laut Pulau Aur, Mersing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Mersing menahan tiga buah bot nelayan Vietnam dsn 37 kru kerana disyaki 

menceroboh dan merompak hasil laut pada kedudukan 15.1 batu nautika timur laut Pulau Aur, di sini semalam. 

Pengarah Maritim Zon Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, tangkapan itu dilakukan semasa rondaan penguatkuasaan OP Jaksa dan OP Tiris di sekitar perairan daerah ini pada pukul 7.30 petang. 

“Tiga buah bot nelayan asing tersebut ditahan ketika sedang leka melakukan aktiviti menangkap hasil laut. Pemeriksaan ke atas ketiga-tiga buah bot nelayan asing tersebut menggunakan nombor pendaftaran negara Vietnam dan dikendalikan 37 kru termasuk tekong.

“Semuanya lelaki warga Vietnam berumur antara 18 hingga 66 tahun tanpa dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. 

Pemeriksaan lanjut mendapati semua bot tidak mempunyai sebarang dokumen kebenaran melakukan aktiviti perikanan di perairan negara.

Kesemua 37 kru ditahan dan ketiga-tiga buah bot, peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan kira-kira 13,000 kilogram serta 4,000 lebih liter minyak diesel dirampas dan dibawa ke jeti Maritim Pos Teluk Gading.

Kes itu disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran Pengarah Perikanan Malaysia serta Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah. 

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM2.5 juta. Maritim Malaysia mengambil serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti pencerobohan vesel penangkapan ikan negara asing bagi mengaut hasil laut dalam perairan negara.

“Komuniti maritim diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang. Sebarang aduan jenayah atau kemalangan di laut segera hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN