KOTA TINGGI: Tiada elemen provokasi dan konfrontasi berlaku pada Minggu Solidariti Palestin peringkat Sekolah Kebangsaan Seri Saujana (SESA), di sini hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati ibu bapa dan anak-anak mengenakan pakaian bertemakan Palestin untuk menunjukkan solidariti dan perasaan simpati atas peperangan yang berlaku di Gaza.
Ada juga antara mereka yang memakai mafla dan pengikat kepala bertulis perkataan ‘Bebaskan Palestin’.
Walau bagaimanapun tiada ibu bapa atau pelajar yang membawa replika senjata atau mengenakan ikon atau simbol yang dilarang Kementerian Pendidikan (KPM).
Terdahulu, KPM memaklumkan akan melaksanakan Minggu Solidariti Palestin di semua institusi pendidikan di bawahnya bermula hari ini hingga 3 November ini bagi menyahut pendirian kerajaan untuk terus bersama-sama mempertahankan hak dan kebebasan rakyat Palestin.
Program itu diadakan di sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru di seluruh negara.
Namun, dalam kenyataan berasingan hari ini, KPM melarang sebarang penggunaan replika senjata, ikon dan simbol yang mengandungi elemen provokasi serta konfrontasi sepanjang Minggu Solidariti Palestin.
Pihaknya tidak berkompromi dengan sebarang aktiviti berbentuk ekstrem. – UTUSAN