Tiada beras plastik di Pahang - Utusan Malaysia

Tiada beras plastik di Pahang

OPERASI bersepadu dilakukan pihak penguatkuasa di kilang pemprosesan Beras Putih Tempatan (BPT), Mumtaz Iman Sdn. Bhd. di Indera Mahkota di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Beras plastik tidak wujud di pasaran tempatan di negeri ini sebaliknya hanya dakwaan dibuat pihak tidak bertanggungjawab berhubung perkara tersebut.

Mengesahkannya, Pengarah Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Pahang Hamizan Musa berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan berhubung dakwaan terbabit.

“Sebenarnya beras plastik ini tidak wujud, cuma ada terdapat dakwaan dibuat sebelum ini, jadi kita harus lakukan pemeriksaan.

“Lagipun tidak mungkin beras plastik boleh bercampur beras asli,” katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi yang dijalankan di kilang pemprosesan Beras Putih Tempatan (BPT), Mumtaz Iman Sdn. Bhd. di Indera Mahkota di sini hari ini.

Terdahulu, tular dakwaan kononnya terdapat beras plastik di pasaran Sandakan Sabah, namun seorang lelaki tampil mohon maaf dan mengaku perkara itu tidak benar.

Selain KPB, operasi bersepadu terbabit turut membabitkan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Operasi bermula hari ini dan dijangka berakhir 3 November depan.

Mengulas tentang operasi tersebut, Hamizan berkata, pemeriksaan dibuat ekoran dakwaan terdapat pengilang yang mencampurkan beras tempatan dengan beras import.

Jadi katanya, KPB akan mengambil sampel beras di kilang dilantik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk dianalisa.

“Proses analisa dilakukan di makmal Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan keputusannya akan dimaklumkan kepada pengilang atau pembekal.

“Untuk Pahang kita akan melakukan operasi di sebuah kilang dan empat pusat pengedaran beras putih tempatan. Ia dilakukan bagi memastikan dakwaan yang dibuat kononnya ada pihak mencampurkan beras tempatan dan import tidak berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya