Terbengkalai 14 tahun, SMK Suria Jaya akan beroperasi 2025 - Utusan Malaysia

Terbengkalai 14 tahun, SMK Suria Jaya akan beroperasi 2025

PEMBINAAN semula SMK Suria Jaya yang terbengkalai sejak 14 tahun dijangka siap dalam tempoh setahun dan beroperasi mulai 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Jaya di Parit Yaani, dekat sini yang terbengkalai sejak 14 tahun lalu dijangka beroperasi sepenuhnya pada awal 2025

Pembinaan yang sudah mencapai  97 peratus itu tidak dapat diteruskan oleh pemaju menyebabkannya gagal digunakan untuk menempatkan kira-kira 600 pelajar. 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norlizah Noh berkata, kerja pembinaan semula sekolah itu dilakukan pada 20 September lalu dan dijangka siap dalam tempoh setahun. 

Katanya, kira-kira 55 peratus sahaja kerja pembinaan semula akan dilakukan berikutan 42 peratus hanya perlu dibaik pulih berkaitan pemasangan kelengkapan elektrik serta kemudahan lain. 

“Sekolah ini sepatutnya sudah boleh digunakan pada 2016 seperti beberapa buah sekolah lain yang dibina pada masa yang sama di negeri ini. 

“Dengan adanya sekolah ini, anak-anak penduduk di sekitar Parit Yaani tidak lagi perlu meredah bahaya dengan menunggang motosikal kira-kira lapan kilometer ke sekolah berdekatan setiap hari,” katanya selepas mengadakan lawatan dan mendengar taklimat kerja pembinaan semula sekolah tersebut, hari ini.

Norlizah berharap tiada lagi kerja pembinaan yang terbengkalai selepas ini kerana apabila berlaku akan menyebabkan peningkatan kos sekiranya dibina semula. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Mohamad Najib Samuri bersyukur apabila impian penduduk untuk mendapatkan sebuah sekolah menengah baharu bakal  tercapai.

“Selain pelajar biasa, kita juga merancang ditempatkan penuntut pra universiti di sekolah ini bagi lepasan tingkatan lima di sekitar Parit Yaani, Sri Medan dan Sri Gading,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya