TAPS perlu persetujuan Persekutuan - Fazli - Utusan Malaysia

TAPS perlu persetujuan Persekutuan – Fazli

MOHAMAD FAZLI MOHAMED SALLEH (tengah) mendengar taklimat berkaitan Tangki Air Parit Sulong, Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Sungai Lebah Salleh di Kota Tinggi memerlukan persetujuan di peringkat Persekutuan terlebih dahulu sebelum boleh dilaksanakan berikutan perjanjian bekalan air antara Malaysia dan Singapura. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamed Salleh berkata, air Sungai Johor akan ditakungkan di TAPS Sungai Lebah Salleh untuk penyaluran bekalan air di kawasan pusat pengumpulan data Sedenak di Kulai.

“Perbincangan yang dilakukan bersama  Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sebelum ini tentang cadangan pembinaan TAPS ini mendapat respons positif.

“Namun, belum ada kata putus kerana Sungai Johor membabitkan dua negara bukan sahaja kerajaan negeri dengan kementerian, malah melibatkan Kementerian Luar dan Peguam Negara,” katanya selepas melawat Projek Jalan Kampung Rahmat dan Estet Sri Gading, di sini hari ini. 

Singapura bergantung kepada Malaysia untuk membekalkan hampir separuh keperluan airnya dan sudah melalui beberapa siri perjanjian bermula pada 1927.

Ia diikuti dengan Perjanjian Sungai Johor pada 1962 yang memberikan negara itu 250 juta gelen air mentah sehari pada harga tiga sen bagi setiap 1,000 gelen dan Malaysia membeli semula air yang dirawat pada harga 50 sen setiap 1,000 gelen.

Sementara itu, Mohamad Fazli berkata, keadaan Empangan Linggui di Kota Tinggi kini berada pada tahap memuaskan.

“Setakat ini, paras air Empangan Linggui hampir 100 peratus, cuma empangan ini mempunyai sambungan kepada empat Loji Rawatan Air (LRA) yang lain.

“Sekiranya berlaku sesuatu kepada empangan utama mungkin akan memberi impak yang besar kepada tempat-tempat yang lain. Walau bagaimanapun, setakat ini Empangan Linggui tiada masalah,” katanya.

Dalam pada itu, ketika membuat lawatan ke Tangki Air Parit Sulong, Mohamad Fazli memberikan jaminan kerja naik taraf akan dilaksanakan sebelum Februari tahun depan. 

Katanya, kira-kira 20,000 pemegang akaun dijanka tidak lagi mengalami masalah bekalan air seperti yang pernah berlaku sebelum ini, terutamanya ketika sambutan perayaan.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya