Tak hadir sah nikah dengan isteri kedua, bekas ADUN kena waran tangkap - Utusan Malaysia

Tak hadir sah nikah dengan isteri kedua, bekas ADUN kena waran tangkap

NORHAYA Rahmat ketika hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Seremban hari ini untuk pengesahan pernikahan dengan bekas ADUN Pertang.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang  kerana gagal hadir bagi prosiding pengesahan pernikahan dengan isteri keduanya.

Hakim Syarie, Ruzita Ramli mengeluarkan waran tangkap itu ke atas  responden, Noor Azmi Yusof, 56, selepas ahli politik itu tidak memberikan kerjasama kepada pemohon, Norhaya Rahmat, 50, yang dinikahinya pada 27 Julai lalu.

“Kerana  kes ini memerlukan kehadiran responden, mahkamah arahkan satu waran tangkap dikeluarkan kepada responden (Noor Azmi),” katanya.

Pada prosiding tersebut, Norhaya yang tidak diwakili peguam memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia sudah menghubungi Noor Azmi beberapa kali tetapi tidak dijawab selain hanya mengetahui alamat pejabatnya di Jelebu.

Norhaya berkata, mereka kini bukan lagi suami isteri selepas diceraikan oleh Noor Azmi melalui WhatsApp pada 17 Ogos lalu.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 Disember depan untuk prosiding sebutan semula kes bagi pengesahan nikah. 

WANITA

Ketika ditemui di luar mahkamah, wanita itu yang bekerja sebagai juruaudit di sebuah syarikat swasta berkata, dia terkejut apabila mendapati pernikahannya tidak didaftar secara sah walaupun bernikah di Malaysia selepas ingin membuat pengesahan cerai.

Norhaya memaklumkan bahawa dia telah dinikahkan oleh kadi Pejabat Agama Islam dari Jelebu di sebuah hotel di Seremban sebelum  diceraikan dalam tempoh tidak sampai sebulan.

“Bekas suami kata kadi itu rakannya dan pernikahan itu sah mengikut syarak. Saya memang fikir ia melalui prosedur yang sah mengikut undang-undang syariah memandangkan pernikahan diwalikan abang kandung saya.

“Dia turut berjanji akan menguruskan pendaftaran pernikahan dengan kerjasama kadi terbabit namun perkara itu tidak terjadi sehingga dia menceraikan saya,” katanya.

Menurut Norhaya, dia terpaksa menguruskan pendaftaran perkahwinan mereka secara bersendirian pada 11 September lalu bagi tujuan pengesahan cerai.

Katanya, walaupun rasa terkilan dan malu,  dia terpaksa tampil ke depan untuk menuntut kebenaran berhubung pernikahan yang berlangsung sebelum ini.

“Saya reda jika jodoh kami setakat ini saja. Soalnya sekarang kenapa terus hilangkan diri seolah-olah kami ini tidak pernah berkahwin. 

“Saya juga ada bukti video perkahwinan kami yang diuruskan oleh kadi yang sah. Kenapa buat saya macam ini?,” katanya.

Norhaya berkata, perkara itu telah menjejaskan reputasi dan kerjayanya selain berharap ahli politik itu memberikan kerjasama supaya perkara ini diselesaikan segera kerana ia sudah tertangguh lama.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN