Syarikat didakwa tipu pelaburan halia, kelapa sawit RM850 juta - YPNM - Utusan Malaysia

Syarikat didakwa tipu pelaburan halia, kelapa sawit RM850 juta – YPNM

MOHD. FIRDAUS Abdullah (depan, tengah) bersama sebahagian pelabur yang didakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan halia dan kelapa sawit sebuah syarikat berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebuah syarikat berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah didakwa menipu pelaburan membabitkan penanaman halia dan kelapa sawit yang nilainya dianggarkan berjumlah RM850 juta melibatkan lebih 8,000 orang pelabur dari seluruh negara.

Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah mendakwa, selain perladangan, syarikat yang aktif sejak 2014 itu turut melaksanakan pelaburan bidang perindustrian menerusi beberapa skim ditawarkan.

“Dua minggu lalu, YPNM menerima aduan daripada lebih 600 pelabur yang melabur dengan syarikat itu dari seluruh negara membabitkan pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat usia.

“Daripada maklumat diterima YPNM, seramai 8,000 orang melabur dengan syarikat ini membabitkan nilai pelaburan antara RM10,000 hingga RM850,000 seorang.

“Pelabur-pelabur terlibat terdiri daripada orang muda yang membuat pinjaman bank untuk melabur, warga emas melalui wang simpanan mereka dan ada juga yang menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” dakwanya selepas Seminar Pengguna Dalam Pelaburan anjuran yayasan tersebut di sini.

Seminar itu melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Turut serta dalam seminar sehari tersebut lebih 100 pelabur yang didakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan halia dan kelapa sawit terbabit.

Firdaus mendakwa, modus operandi syarikat terbabit adalah menawarkan ganjaran lapan peratus setahun berdasarkan jumlah pelaburan dibuat walaupun pokok belum ditanam.

“Syarikat ini menggunakan formula ini bagi mengaburi mata pelabur. Malangnya, pelabur yang sudah melabur hanya dua tahun saja menerima ganjaran dijanjikan. Selepas itu pelbagai janji ditabur dan tiada apa diterima pelabur terlibat sehingga kini,” dakwanya.

Beliau mendakwa, hasil siasatan dijalankan, yayasan berkenaan sudah pun mengenal pasti pemilik syarikat dan lokasi ladang halia serta kelapa sawit terbabit.

“Hasil siasatan, kita mendapati syarikat ini tidak memiliki tanah sendiri, sebaliknya tanah yang mereka janji untuk tanam halia dan kelapa sawit itu disewa,” dakwanya.

Menurutnya, YPNM dalam masa terdekat akan memfailkan kes itu di Mahkamah Sivil untuk menuntut semua wang pelaburan daripada pelabur terlibat.

“Kita minta semua jabatan agensi kerajaan terlibat ambil tindakan terhadap syarikat ini supaya tidak terus mengelirukan orang ramai dan mengutip duit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya