Suri rumah buat laporan palsu anak diculik disiasat

Suri rumah buat laporan palsu anak diculik disiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang suri rumah dikesan cuba membuat penipuan berhubung dakwaan anaknya berusia dua tahun diculik dua lelaki beruniform polis selepas berlaku kejadian pemerasan di kawasan perumahan di Bandar Sri Sendayan di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada wanita berusia 38 tahun itu pada pukul 9.15 malam.

“Wanita itu menyatakan telah menerima panggilan telefon dari sebuah syarikat penghantaran barang dan kemudian didatangi dua lelaki menaiki motosikal seterusnya melarikan anak lelakinya yang berusia dua tahun. 

“Suspek kemudian telah memeras ugut mangsa supaya menggadaikan barang kemas di sebuah kedai pajak gadai di Senawang di sini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Arifai berkata, hasil siasatan dan penelitian liputan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian mendapati perkara tersebut tidak berlaku. 

“Sebaliknya, mangsa telah dihubungi oleh seorang perempuan yang disyaki ‘scammer’ dengan meminta pengadu menggadaikan barang kemas dan memasukkan wang tunai ke dalam akaun yang diberi.

“Namun, mangsa telah berjaya menghubungi suaminya bagi menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian,” katanya.

Menurut Arifai, kes pada mulanya disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan atas kesalahan pemerasan.

“Bagaimanapun, polis tidak menolak kemungkinan melakukan siasatan kerana membuat laporan palsu dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengetahui motif laporan awal itu selain siasatan kes penipuan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan panggilan telefon daripada pihak yang tidak dikenali supaya tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Beliau berkata, sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Faizal Mohd. Zaini di talian 013-3613854 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban 06-6033222.

Terdahulu, tular satu laporan yang mendakwa dua lelaki beruniform polis mengacu pistol ke arah seorang kanak-kanak sebelum dikatakan menculiknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya