Sujud syukur selepas dilepas, dibebaskan - Utusan Malaysia

Sujud syukur selepas dilepas, dibebaskan

AHMAD FAUZAN (dua dari kiri) dan Amir Shariffuddin (tiga dari kiri) syukur selepas Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan mereka daripada pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Anak bekas Exco Johor, Ahmad Fauzan Hatim Abd. Latif, 30, dan perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd. Raub, 49, bersujud syukur di dalam Mahkamah Tinggi, di sini hari ini selepas kekal dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan rasuah serta pengubahan wang haram.

Abd. Latif turut memeluk isterinya, Datin Nor Karmila Md. Nor di luar mahkamah yang kelihatan gembira apabila mendengar keputusan yang dibuat hakim Noor Hayati Mat.

Ahmad Fauzan bersyukur kerana dapat mengharungi tempoh tujuh tahun itu dengan tabah apabila diheret semula ke mahkamah dan

Mahkamah Tinggi hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 2017 yang melepas dan membebaskannya.

“Alhamdulillah, semua selesai hari ini dan saya ingin berterima kasih kepada pihak peguam yang sentiasa bersama kami sekeluarga selain SPRM dan pendakwa raya yang sangat profesional menjalankan tugas,” katanya.

Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepaskan dan membebaskan kedua-dua tertuduh atas pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta, enam tahun lalu.

Hakim, Noor Hayati membuat keputusan itu selepas menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 7 Ogos 2022, yang membebas dan melepaskan Ahmad Fauzan Hatim dan perunding hartanah, Amir Shariffuddin.

Ahmad Fauzan berkata, keputusan itu membolehkannya menjalani kehidupan lebih baik termasuk memberi tumpuan terhadap kerjayanya sebagai ahli perniagaan,” katanya yang  berpelukan dengan bapanya selepas keputusan mahkamah berpihak kepada mereka.

Abd. Latif Bandi sebelum ini pernah dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan rasuah bersama anaknya itu dan perunding hartanah pada enam tahun lalu. 

Sementara itu, Amir Shariffuddin berharap kes berkenaan berakhir dan tidak diteruskan lagi dan mahu memulakan kehidupan baharu.

“Saya harap kes ini tamat di sini, namun sekiranya pihak pendakwaan ingin membuat rayuan lagi, macam biasa, kami akan menghadapinya,” katanya. 

Peguam yang mewakili Ahmad Fauzan dan Amir Shariffuddin, Datuk Salehudin Saidin berkata, hakim dalam penghujahannya memaklumkan pihak pendakwaan gagal membuktikan keraguan yang melampau munasabah.

“Jika ikut proses biasa, memang ada rayuan ke Mahkamah Rayuan tetapi kita mengharapkan pihak pendakwaan tidak merayu disebabkan sudah dua kali mahkamah mengatakan bahawa mereka  ini didapati tidak bersalah atas segala pertuduhan yang dihadapkan.

“Itu hak pihak pendakwaan tapi kami mengharapkan sangat untuk kes ini selesai begini sahaja dan dibenarkan semua yang dituduh dan akhirnya bebas ini dapat memulakan karier mereka semula, sebabnya sudah terlalu lama mereka diheret ke mahkamah selama tujuh tahun,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ahmad Akram Gharib, Mahadi Abdul Jumaat, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan  Zender Lim Wai Keong, manakala tertuduh diwakili oleh Salehudin, 

Khairulazwad Sariman, Zulaikha Aini Mohd. Khair Johari, Siti Sarah Khalil, Abd Rahim Ali, Ahmad Nur Awalluddin Zakaria dan Syahmi Nawawi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN