PETALING JAYA: Pendekatan penyasaran semula subsidi akan dilaksanakan secara berfasa mulai tahun hadapan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, belanjawan 2023 memperuntukkan 64 bilion ringgit untuk perbelanjaan subsidi dan bantuan, tetapi keperluan tahun ini dijangka mencecah 81 bilion ringgit.
Katanya, peningkatan ini adalah akibat langkah kerajaan mengekalkan harga barangan bersubsidi untuk rakyat walaupun berdepan dengan kenaikan luar jangka harga komoditi dunia.
Namun, beliau percaya, walaupun barangan bersubsidi membantu rakyat dalam meminimumkan kos sara hidup, tetapi subsidi hakikatnya lebih memanfaatkan golongan kaya selain harga murah meningkatkan ketirisan dan penyeludupan ke luar negara.
“Jika benar dapat jimat belanja subsidi , maka saya jamin kita akan tambah bantuan Sumbangan Tunai Rahmah daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion kepada hampir sembilan juta penduduk,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat di sini hari ini. – UTUSAN