Sistem bayar terbuka Rapid Rail mula beroperasi 2025 - Utusan Malaysia

Sistem bayar terbuka Rapid Rail mula beroperasi 2025

ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sistem pembayaran terbuka bagi rangkaian Rapid Rail di Lembah Klang dijangka mula beroperasi pada 2025.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Prasarana sedang memuktamadkan pelan pelaksanaan untuk rangkaian Rapid Rail yang merangkumi Laluan LRT Kelana Jaya, Laluan LRT Ampang, Laluan MRT Kajang, Laluan MRT Putrajaya dan Monorail.

Menurut beliau, sistem baharu tersebut akan memperkenalkan penggunaan MyDebit dan Kad Kredit sebagai mod pembayaran tambahan di gantri selain kaedah pembayaran sedia ada yang menggunakan kad Touch-n-Go ataupun Token.

“Kerja-kerja reka bentuk dan pembangunan (Design and Development) dijangka mula pada Mac 2024 dan Prasarana akan mengambil tempoh 11 bulan iaitu sehingga Februari 2025 untuk menyiapkan 50 peratus daripada gantri di setiap stesen untuk menerima kaedah pembayaran terbuka.

“Menjelang Ogos 2025, semua gantri di setiap stesen akan siap. Sekiranya perlu, sistem ini akan terus diperkembangkan dengan membolehkan penggunaan mod pembayaran yang lain seperti Kod QR dalam fasa pelaksanaan yang seterusnya,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, kata Anthony, seluruh rangkaian KTMB Komuter di Lembah Klang, penaiktarafan sistem tiket kini hampir selesai.

“Mulai pertengahan November 2023, pengguna KTMB dapat menikmati kemudahan baru di mana kesemua 57 stesen KTMB Komuter di Lembah Klang dilengkapi dengan alat pengimbas di gantri yang menyokong kaedah pembayaran terbuka termasuk kad kredit, kad debit, Touch-n-Go dan Kod QR melalui aplikasi mobile KTMB (KITS) dengan jumlah kos projek sebanyak RM29 juta,” katanya.

Beliau menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) mengenai peratusan pelaksanaan sistem pembayaran terbuka dalam rangkaian pengangkutan awam Lembah Klang terutamanya dalam rangkaian Prasarana seperti LRT, MRT dan bas Rapid KL. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya