Sering selesema, mata merah, hidung berdarah rupanya hidap kanser - Utusan Malaysia

Sering selesema, mata merah, hidung berdarah rupanya hidap kanser

PENGURUS Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam menyampaikan sumbangan kepada Siti Arziah ketika mengunjungi di rumahnya di Bandar Baru Uda, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pekerja swasta, Siti Arziah Ismail, 61, yang dahulu bergerak aktif kini terpaksa bergantung kepada suami dan ahli keluarga untuk bergerak akibat penyakit kanser pangkal hidung yang dihidapinya.

Dia mengalami perubahan itu sejak sebulan lalu apabila mula hilang selera makan dan tubuhnya semakin lemah serta kerap mengalami selesema, kemerahan pada mata kiri dan hidung berdarah.

“Saya hanya alami simptom itu bagi tempoh singkat sebelum disahkan menghidap kanser pada bulan lalu, hasil pemeriksaan yang dijalankan doktor mengesan ketumbuhan di hidung.

“Mata kiri saya juga semakin membengkak sejak dua minggu lalu, doktor memaklumkan gejala seperti itu jarang berlaku kepada pesakit kanser dan pihak hospital dalam proses mengenal pasti puncanya serta doktor juga menyatakan sel kanser berkenaan juga memberi kesan terhadap otak,” katanya ditemui, di sini.

Dia menjalani pemeriksaan dan rawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) selama 10 hari.

Doktor menasihati supaya menjalani radioterapi selama 18 hari bermula Ahad ini di HSI dan tidak mengesyorkannya menjalani rawatan kemoterapi atas faktor tertentu.

Siti Arziah yang tidak mempunyai cahaya mata berkata, segala kos perubatan serta kos berulang-alik dari rumah di Bandar Baru Uda, di sini ke HSI ditanggung sepenuhnya oleh suaminya yang bekerja sebagai jurukamera sambilan.

“Saya bekerja di bahagian pengurusan pentadbiran di syarikat swasta dan kami hanya golongan berpendapatan sederhana. Dengan keadaan ketika ini, saya tidak pasti sama ada boleh terus bekerja atau tidak,” katanya yang sedang bercuti sakit selama dua bulan.

Dia kini hanya bergantung dengan bekalan susu khas yang disyorkan doktor untuk mendapatkan zat dan tenaga yang dianggarkan menelan belanja kira-kira RM1,000 sebulan.

“Kami juga perlu menampung kos rawatan radioterapi di HSI yang agak tinggi, syukur kami menerima bantuan segera daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), harapnya kami layak mendapatkan bantuan perubatan atau sara hidup bagi meringankan perbelanjaan,” katanya.

Dia turut menerima bantuan daripada pengurusan Pasaraya Econsave Cash And Carry yang menyampaikan sumbangan susu khas yang dianggarkan berjumlah RM1,200.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban pasangan itu boleh menyalurkan sumbangan kepada Siti Arziah menerusi akaun Public Bank miliknya bernombor 4511679515. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya