Sekolah di Negeri Sembilan diminta pantau ancaman jerebu - Utusan Malaysia

Sekolah di Negeri Sembilan diminta pantau ancaman jerebu

KEADAAN jerebu kelihatan di Lebuhraya Seremban-Port Dickson sejak petang semalam. UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Semua sekolah di negeri ini telah diminta meningkatkan pemantauan susulan keadaan jerebu dan cuaca panas ketika ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Dr. Roslan Husin berkata, semua pengetua dan guru besar boleh mengambil tindakan segera jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai bacaan 200 iaitu kategori sangat tidak sihat.

Pada masa yang sama, katanya, sekolah juga boleh menghentikan aktiviti luar kelas sekiranya cuaca terlalu panas walaupun IPU belum mencapai bacaan 200.

“Jika IPU mencecah tahap 200 memang kami nasihat tutup sekolah dan jika belum capai tahap itu tetapi cuaca begitu panas, sekolah boleh ambil tindakan yang wajar.

“Bagaimanapun, sehingga kini, aktiviti di sekolah berjalan seperti biasa dan pengetua dan guru besar telah diminta memantau keadaan dengan lebih teliti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika meninjau persiapan penganjuran Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dekat sini hari ini.

DR. ROSLAN Husin ketika ditemui pemberita selepas meninjau persiapan penganjuran Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.

Untuk rekod, sehingga pukul 12 tengah hari tadi, sebanyak 14 kawasan di seluruh Semenanjung telah mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu melebihi 101.

Berdasarkan laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), antara kawasan itu ialah Nilai dengan bacaan 163, Seremban (157) dan Port Dickson (155).

Roslan memberitahu, pihaknya akan mendapatkan maklumat terkini mengenai bacaan indeks IPU daripada semasa ke semasa sebelum memutuskan tindakan susulan.

“Setakat semalam, Port Dickson telah mencatatkan IPU 160 tetapi kami tidak ambil apa-apa tindakan.

“Semua pengetua atau guru besar mempunyai kuasa untuk bertindak dalam situasi jerebu berdasarkan kepada prosedur yang telah ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini,” ujarnya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN