BENTONG: Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan beliau berjuang demi agama, bangsa dan tanah air, bukannya kerana wang dan mengejar pangkat Perdana Menteri.
Kata bekas Perdana Menteri itu, jika mengejar wang dan kedudukan, beliau tidak akan meletakkan jawatan pada 2009.
“Saya dah tua, umur 98, jika kalendar Islam umur 101, tapi masih boleh cakap, cakaplah.
“Kita nak berjuang untuk agama, bangsa dan negara, bukan untuk duit, bukan nak jadi Perdana Menteri,” katanya ketika berucap dalam ceramah pentas akhir Perikatan Nasional (PN) bersempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai di Dataran Purnama di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir mendakwa pakatan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bukan selamatkan rakyat, tetapi untuk selamatkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, kerajaan yang dibentuk hari ini telahpun ditolak rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana UMNO dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing telah kalah.
Namun katanya, mereka akhir berjaya membentuk kerajaan selepas memeterai pakatan kerjasama.
Selain itu dalam pentas sama, Dr. Mahathir mempertikaikan tindakan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangani kejatuhan wang Ringgit dan masalah bekalan harga beras.
“Janji nak turun harga semua barang, tali sekarang harga beras naik. Ini hasil pemerintahan Anwar,” katanya. – UTUSAN