PETALING JAYA: Syarikat minyak dan gas terbesar di dunia, Saudi Aramco komited untuk memperluas fasilitinya di Kompleks Bersepadu Pengerang, Johor, supaya menjadi hab terbesar di Asia Tenggara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perluasan fasiliti tersebut adalah dengan menambah aktiviti hiliran petrokimia dan gas.
Katanya, perkara itu telah dinyatakan oleh kepimpinan syarikat itu pada sesi perbincangan bersamanya di Hotel Ritz-Carlton, Riyadh semalam.
Lapor Bernama, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut bertemu Menteri Perdagangan Arab Saudi, Dr. Majid Abdullah Alkassabi dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Saudi Aramco, Amin H. Nasser untuk berbincang lebih lanjut mengenai rancangan pelaburan syarikat itu.
Sebelum ini, Saudi Aramco telah menyuarakan hasrat menjadikan Malaysia sebagai hab perkembangan minyak dan gas Arab Saudi di rantau Asia Tenggara.
Fortune Global 500 pada 2021 menyenaraikan Saudi Aramco di tempat keenam teratas sebagai syarikat paling untung di dunia, dengan perolehan berjumlah AS$105 bilion (AS$1=RM4.77).
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau menerima kunjungan hormat Gabenor Public Investment Fund (PIF) Arab Saudi, Yasir AL Rumayyan yang membincangkan prospek kerjasama dalam bidang pelaburan.
Katanya, PIF yang peranannya sama seperti Khazanah Nasional di Malaysia, bersetuju mengadakan kerjasama dengan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Ini selaras dengan usaha untuk meningkatkan pelaburan bersama, bukan sahaja di Arab Saudi, malah di Malaysia. Buat permulaan, ada hasrat untuk bekerjasama dengan melakukannya di Iraq dan benua Afrika,” katanya.
Perdana Menteri turut berkongsi perkembangan menarik lain yang melibatkan beberapa syarikat Malaysia dalam projek-projek besar di Arab Saudi, termasuk pembinaan infrastruktur bagi projek NEOM.
Projek mewah Arab Saudi itu yang bernilai AS$500 bilion (RM2.24 trilion), mencatat rekod tersendiri apabila bakal menempatkan pencakar langit sepanjang 120 kilometer dikenali sebagai ‘Mirror Line’ dan memberi kehidupan bandar menakjubkan pada masa hadapan.
Katanya lagi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah diarah untuk membantu aspek menyelaras usaha bagi meningkatkan pelaburan negara. – UTUSAN