Sanusi nafi fitnah Vincent Tan, Berjaya Land - Utusan Malaysia

Sanusi nafi fitnah Vincent Tan, Berjaya Land

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menafikan ucapannya pada program Jelajah Mega PN Best, Ogos lalu memfitnah  Tan Sri Vincent Tan dan syarikatnya Berjaya Land Berhad.

Sebaliknya, ucapan yang dibuat tersebut merujuk kepada isu tatakelola dan ketirisan yang didakwa berlaku dalam pentadbiran ahli-ahli politik Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) terutamanya membabitkan Menteri Besar Selangor.

Selain itu, Menteri Besar Kedah itu menyatakan sebagai ahli politik pembangkang, beliau mempunyai tanggungjawab moral dan sosial untuk mendedahkan sebarang isu tatakelola dan ketirisan dalam pentadbiran dipegang ahli-ahli politik PH-BN.

“Defendan (Muhammad Sanusi) menegaskan tiada langsung rujukan dibuat kepada plaintif kedua (Berjaya Land) secara langsung atau innuendo. Defendan juga tidak pernah sekali-kali membuat tuduhan bahawa plaintif  pertama (Vincent) seorang ahli perniagaan yang korup.

“Defendan juga tidak pernah menyatakan plaintif pertama dan kedua telah melakukan aktiviti haram atau menyalahi undang-undang, menipu rakyat Selangor dan mempunyai kecenderungan untuk melakukan amalan tidak jujur dan mempunyai reputasi yang buruk,” kata Muhammad Sanusi.

Selain itu, Ahli Parlimen Jeneri itu juga menyatakan Vincent dan Berjaya Land tidak mnglami sebarang kerugian kerana Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG) masih lagi diteruskan.

SAMAN

Menteri Besar Kedah yang juga Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN) berkata demikian dalam pembelaannya berkaitan saman yang difailkan oleh Vincent atau nama penuhnya Vincent Tan Chee Yioun berhubung Projek SMG.

Pembelaan tersebut difailkan pada 29 September lalu di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Sesalinan dokumen terbabit diperoleh media hari ini.

Pada 8 Ogos lalu, Vincent dan Berjala Land memfailkan saman fitnah terhadap Muhammad Sanusi yang didakwa mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbaur fitnah pada program Jelajah Mega PN Best pada 2 Ogos lalu di Dataran Darulaman, Jitra, Kedah.

Program jelajah tersebut adalah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri termasuk Kedah.

Vincent selaku plaintif pertama mendakwa Muhammad Sanusi yang dinamakan sebagai defendan telah kenyataan berbaur fitnah dan membuat rujukan yang spesifik terhadapnya pada program jelajah itu.

Sementara itu, Berjaya Land yang merupakan plaintif kedua dalam saman itu menyatakan walaupun tiada rujukan spesifik dibuat terhadap syarikat itu, kenyataan yang dibuat Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu mampu difahami bahawa ia merujuk kepada syarikat terbabit.

KORUP

Kenyataan-kenyataan berbaur fitnah itu antara lain menggambarkan ahli perniagaan itu dan Berjaya Land  merupakan seorang ahli perniagaan dan syarikat yang korup, kroni Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan telah memperoleh tanah seluas 600 hektar secara percuma.

“Kenyataan-kenyataan berbaur fitnah itu juga mampu merosakkan reputasi yang dimiliki kedua-dua dalam dunia perniagaan sama ada di dalam atau luar negara serta berpotensi menyebabkan plaintif-plaintif kehilangan keuntungan berjumlah jutaan ringgit,” dakwa kedua-dua plaintif dalam pernyataan tuntutan itu.

Menurut pernyataan tuntutan tersebut, Projek SMG membabitkan sebuah syarikat bertujuan khas, Landasan Lumayan Berjaya Sdn. Bhd. (LLBSB) menerusi usaha sama dengan Menteri Besar (Diperbadankan) (MBI).

LLBSB bukan sahaja perlu membayar premium tanah bernilai RM113.1 juta bahi lot-lot tanah tersebut tetapi juga mencari dana untuk membayar premium terbabit kepada Kerajaan Negeri Selangor.

Oleh itu, Vincent dan Berjaya Land menuntut ganti rugi am, pampasan, teruk dan teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Plaintif turut memohon perintah injunksi terhadap Muhammad Sanusi bagi menghalangnya ataupun ejen defendan daripada mengulangi kenyataan-kenyataan berbaur fitnah itu dalam apa jua medium.

Pada 25 Ogos lalu, kedua-dua plaintif berjaya mendapatkan injunksi sementara secara sebelah pihak (ex-parte) terhadap Muhammad Sanusi. Permohonan injunksi inter-parte (kedua-dua belah pihak) ditetapkan untuk pendengaran pada 25 Oktober ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN