LIPIS: Kerajaan Pahang masih dalam peringkat perbincangan bagi menggubal Rang Undang-undang (RUU) anti lompat parti membabitkan kesemua 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perbincangan itu perlu dilakukan kerana kerajaan perpaduan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tidak memiliki majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Namun, akta lompat parti ini walaupun tidak dibuat, secara automatik ia akan terjadi kerana kerajaan negeri tidak ada pilihan dan hanya mengikut kerajaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Pahang 2023 di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini.
Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata beliau belum memikirkan untuk melantik ADUN Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri.
“Cadangan exco untuk ADUN Pelangai yang baharu belum difikirkan lagi, wakil rakyat terbabit pun belum angkat sumpah lagi. Buat masa ini tugas exco bagi portfolio itu dibahagi-bahagikan kepada rakan exco,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri komited melaksanakan projek pembangunan di Pelangai sebagaimana dijanjikan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 7 Oktober lalu. – UTUSAN