Runtuhan siling Megah Rise Mall disiasat pemaju - Utusan Malaysia

Runtuhan siling Megah Rise Mall disiasat pemaju

TANGKAP layar menunjukkan pengawal keselamatan meminta pengunjung pusat beli-belah di Petaling Jaya keluar dari bangunan terbabit. - IHSAN MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Runtuhan siling di hadapan pusat beli-belah, Megah Rise Mall  yang baru beroperasi pada 18 Disember tahun lalu sedang dalam siasatan oleh pemajunya, PPB Properties.

Ketua Pegawai Eksekutif PPB Properties, Low Eng Hooi berkata, pihaknya bekerjasama sepenuhnya dengan semua pihak berkuasa yang berkaitan untuk menguruskan kejadian itu secepat mungkin.

“Keselamatan dan kesejahteraan pelanggan, penyewa dan kakitangan kami sentiasa menjadi keutamaan dan langkah segera telah diambil untuk memastikan keselamatan semua mangsa kejadian. Kawasan yang terjejas segera dipindahkan, dan serpihan telah dibersihkan.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul dan menghargai kerjasama anda,” katanya dalam kenyataan.

Kata beliau, kawasan terjejas termasuk pintu masuk utama, lif mesra haiwan peliharaan bersebelahan dan Kheng Wah Kopitiam, ditutup sehingga diberitahu kelak. 

Bagaimanapun, seluruh pusat beli-belah itu terus beroperasi seperti biasa.

“Sepasukan perunding telah ditugaskan untuk menjalankan penilaian struktur yang komprehensif dan melaksanakan pembaikan dan pengukuhan yang diperlukan. Keselamatan awam adalah keutamaan kami.

“Kami komited untuk melaksanakan langkah keselamatan yang ketat untuk melindungi komuniti kami dan mencegah kejadian serupa pada masa hadapan,” katanya.

Semalam, angin kencang dan hujan lebat menyebabkan siling anjung kereta berhampiran pintu masuk utama Megah Rise Mall runtuh, mengakibatkan tiga individu cedera ringan.

Megah Rise Mall terletak di Taman Megah, Petaling Jaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN