Risda perkenal lima inisiatif aktifkan semula kebun getah tidak bertoreh

Risda perkenal lima inisiatif aktifkan semula kebun getah tidak bertoreh

AHMAD Zainal Abdullah (kanan) menunjukan kemahiran menoreh getah selepas merasmikan Majlis Kempen Gerakan Peningkatan Produktiviti Getah (GPPG) dan Konvensyen Amalan Pertanian Baik (GAP) Risda Negeri Kelantan 2023, di Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) memperkenalkan lima inisiatif utama menerusi Program Skim Getah Matang (SGM) bagi mengaktifkan semula kebun getah tidak bertoreh di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Risda, Ahmad Zainal Abdullah berkata, usaha itu merangkumi insentif bantuan peringkat pertama sehingga lima dengan penambahan bantuan SGM Tanam Semula melibatkan nilai RM7,700 bagi semenanjung dan RM8,400 untuk Sabah serta Sarawak.

Menurutnya, SGM satu dan dua itu disediakan oleh Risda untuk memperkasakan pengurusan ladang dengan teknologi terkini, manakala tiga hingga lima pula menerusi pemberian insentif kepada pekebun kecil yang berjaya mencapai sasaran produktiviti sebagaimana telah ditetapkan.

“Pakej SGM satu ini khusus kepada pemilik kebun getah matang yang akan membuka panel torehan, kita (Risda) akan bantu dari segi baja, set torehan, dan racun rumpai dengan nilai RM2,300 per hektar bagi kawasan semenanjung dan RM2,500 per hektar di Sabah serta Sarawak. 

“Pakej SGM dua pula menawarkan bantuan baja serta racun rumpai manakala pakej tiga hingga lima adalah bantuan berupa baja, bahan rangsangan serta racun rumpai bernilai RM900 di Semenanjung dan RM1,000 di Sabah dan Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Gerakan Peningkatan Produktiviti Getah dan Konvensyen Amalan Pertanian Baik (GAP) Risda di sini hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad Zainal memberitahu, pakej SGM Tanam Semula itu sudah diaktifkan bagi membantu menghidupkan kembali kebun getah tua yang tidak lagi memberi pulangan ekonomi. 

Katanya, ia membabitkan bantuan bernilai RM400 per hektar dengan komponen selenggara kebun dan bahan rangsangan lateks.

“Objektif utama inisiatif SGM ini diwujudkan adalah bagi memastikan peningkatan pengeluaran hasil getah pekebun kecil kepada sasaran 1,800 kilogram sehektar setahun dan memperoleh pendapatan lebih dari RM1,500 daripada hasil kebun getah.

“Risda menyarankan agar pekebun kecil mengambil peluang melalui bantuan yang disediakan oleh Kerajaan dan kembali bergiat aktif mengusahakan semula kebun-kebun getah milik mereka yang terbiar,”katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zainal berkata, bagi program SGM di Kelantan, pihaknya telah memperuntukkan sejumlah RM11.5 juta kepada hampir 9,000 penoreh getah di seluruh negeri itu.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya