KUALA PILAH: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) mengesan lebih 500 ribu hektar kebun yang tidak bertoreh di negara ini sekali gus berpotensi mengurangkan pendapatan hasil getah negara.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Risda, Ahmad Zainal Abdullah berkata, masalah berkenaan membabitkan pekebun-pekebun yang sudah pun berusia yang berhadapan dengan kesukaran untuk menguruskan kebun mereka sendiri.
Menurutnya, pihaknya mencari alternatif lain bagi memastikan kawasan tanah kebun terbiar itu dapat diusahakan dengan mengatur syarikat berkaitan ataupun mencari penoreh lain selain melaksanakan skim penanaman berkelompok.
“Itu faktornya iaitu usia pekebun kecil dan harga getah, cara atasi, kita adakan jualan berkelompok, tender. Kita tidak mahu pekebun kecil jual (getah) secara individu.
“Banyak contoh di negeri lain, di Temerloh, Pahang dan di Kedah kita boleh dapat harga RM3.50 harga getah secara jualan berkelompok sebab kita ada kilang-kilang termasuklah MARDEC (kilang pemprosesan getah milik Perbadanan Kemajuan Getah Malaysia).
“Jadi ia adalah peluang kepada komuniti kita mendapat pendapatan daripada getah,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Program Gerakan Peningkatan Produktiviti Getah dan Konvensyen GAP Getah Matang Peringkat Risda Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Majlis telah dirasmikan oleh Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Sementara itu, Jalaluddin berkata, berdasarkan data dari Jabatan Perangkaan Malaysia, keseluruhan tanaman getah bagi kawasan di negeri ini adalah sebanyak 76,769 hektar.
Menurutnya, kebun getah muda sebanyak 11,512 hektar manakala bagi kebun getah matang adalah sebanyak 65,257 hektar menunjukkan peratusan kawasan getah matang adalah sebanyak 85 peratus.
“Bagi tahun ini sahaja, Risda Negeri Sembilan menerima peruntukan sebanyak RM4.18 juta untuk menjayakan program peningkatan produktiviti getah seperti Skim Insentif Produktiviti Getah (SIPG) dan Skim Insentif Lateks (SIL).
“Pada masa yang sama, Risda telah menyediakan sebanyak 21 unit Depo Pengumpulan Skrap dan tiga unit Depo Pengumpulan Lateks di negeri ini bagi memudahkan pemasaran hasil getah pekebun kecil secara berkelompok serta mampu memendekkan rantaian pemasaran yang dapat menjana pendapatan terbaik untuk pekebun kecil,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Jalaluddin berkata, pihaknya berharap dapat mewujudkan satu pusat sehenti bagi mengumpulkan produk pertanian di negeri ini termasuk produk dari usahawan Risda untuk dibantu daripada aspek pemasaran.-UTUSAN.