Remaja 17 tahun antara ahli sindiket tipu pelaburan dalam talian ditahan - Utusan Malaysia

Remaja 17 tahun antara ahli sindiket tipu pelaburan dalam talian ditahan

YAHAYA Othman (tengah) menunjukkan barang rampasan antaranya laptop dan telefon bimbit dalam serbuan sindikit pelaburan tidak wujud selepas sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen Pahang, dekat sini, hari ini. UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis Pahang berjaya menumpaskan sindikit penipuan pelaburan tidak wujud secara dalam talian dan menahan seorang remaja berusia 17 tahun yang dipercayai turut terlibat kegiatan tersebut.

Kegiatan sindiket itu dikesan hasil daripada pemantauan Bahagian Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, susulan itu serbuan dilakukan di sebuah premis di Genting Highlands kira-kira pukul 6.30 petang, 5 Oktober lalu.

Menurutnya, pihaknya menahan seramai 20 individu terdiri daripada 15 warga tempatan manakala lima warganegara asing yang menggunakan pas lawatan sosial.

“Kesemua suspek berusia lingkungan 17 hingga 31 tahun ditangkap dipercayai terlibat sindiket penipuan pelaburan tidak wujud dalam talian yang menyasarkan mangsa dari Singapura,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Yahaya berkata, siasatan awal mendapati modus operandi bermula apabila sindiket menawarkan mangsa secara rawak menggunakan aplikasi cari jodoh “Coffee Meets Bagel Dating”.

Jelasnya, setelah berkenalan sindiket akan menawarkan pelaburan tidak wujud untuk memperdaya mangsa.

“Susulan itu, mangsa mula diminta memuat naik aplikasi pelaburan di pautan yang diberikan. Kemudian, untuk urusan selanjutnya ia akan di uruskan sindiket lain pula,” katanya.

Menurutnya, sindiket ini dipercayai sudah beroperasi kira-kira tiga bulan, bermula dari 3 Ogos lalu.

Tambah beliau, semakan rekod jenayah lampau mendapati segelintir suspek memiliki rekod jenayah dalam kes penipuan dan dadah.

“Sebanyak 19 unit komputer riba, 69 unit telefon bimbit, masing-masing satu keping passport dan kad akses beserta kunci dirampas . Kesemua suspek direman sehingga 12 Oktober depan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya