JOHOR BAHRU: Remaja berusia antara 13 hingga 19 tahun antara enam kes baharu yang dikesan dijangkiti HIV di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, pada minggu epid (ME) ke-40 menyaksikan keseluruhan kes direkodkan tahun ini sebanyak 157 jangkitan.
“Johor merekodkan 157 kes jangkitan HIV dengan kadar 3.8 kes bagi setiap 100,000 penduduk dengan enam kes melibatkan remaja berusia antara 13 hingga 19 tahun.
“Sebanyak 86 kes baharu yang dilaporkan melibatkan individu berusia antara 20 hingga 29 tahun, manakala 47 kes melibatkan individu berusia antara 30 hingga 39 tahun.
“Sebanyak 13 kes melibatkan individu berusia 40 hingga 49 tahun dan lima lagi kes melibatkan individu berusia 50 tahun ke atas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tian Soon berkata, daripada keseluruhan 157 kes itu, 95 peratus melibatkan pesakit lelaki, manakala baki lima peratus pesakit wanita.
“Sebanyak 110 kes dikesan berpunca daripada hubungan homoseksual atau biseksual, manakala 47 kes lagi faktor jangkitannya adalah melalui hubungan heteroseksual.
“Johor Bahru merupakan daerah yang merekodkan jangkitan baharu terbanyak dengan 87 kes, diikuti Kluang (15 kes) dan Batu Pahat (12 kes),” jelasnya. – UTUSAN