Pusat beli-belah beroperasi biasa, disahkan selamat - Utusan Malaysia

Pusat beli-belah beroperasi biasa, disahkan selamat

SEBUAH pusat beli-belah di Johor Bahru beroperasi seperti biasa hari ini selepas disahkan selamat daripada ancaman keselamatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: The Mall, Mid Valley Southkey dan St. Giles Hotel Southkey yang menerima panggilan ancaman keselamatan semalam beroperasi seperti biasa pada hari ini.

The Mall dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi mereka dijalankan seperti biasa selepas pihak berkuasa mendapati premis tersebut berada dalam keadaan selamat dan bebas daripada segala ancaman.

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menjalankan siasatan dan pemeriksaan secara menyeluruh tidak menemukan sebarang bukti ancaman.

 

“Kira-kira pukul 6.30 petang semalam The Mall, Mid Valley Southkey dan Hotel St. Giles telah dikosongkan sebagai tindak balas kepada ancaman keselamatan menerusi panggilan telefon oleh pihak tidak dikenali.

“PDRM dan JBPM Johor segera tiba di lokasi susulan laporan berhubung perkara itu telah menjalankan siasatan dan pemeriksaan secara menyeluruh di kawasan itu, namun tidak menemukan sebarang bukti ancaman. 

“Setelah membuat pemeriksaan tersebut, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat telah memaklumkan premis itu selamat untuk pekerja, tetamu dan pengunjung pada pukul 12.15 tengah malam tadi,” demikian menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Raub ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan menjelaskan tiada bukti penemuan ancaman bom seperti didakwa individu yang membuat panggilan telefon itu.

Menurutnya, seramai 92 pegawai kanan polis dan anggota termasuk dua unit anjing pengesan K9 dan unit pemusnah bom menjalankan pemeriksaan di lokasi dan pihaknya turut dibantu seramai 23 pegawai dan anggota bomba.

Walaupun tidak menemukan sebarang ancaman, namun pihak polis masih berada di lokasi bagi menjalankan pemantauan dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan serta menasihati orang ramai supaya bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kegusaran awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya