BENTONG: Tindakan flash mob ‘Pulangkan Najib’ oleh satu kumpulan tidak dikenali hampir mencetuskan provokasi antara pihak terbabit dan penyokong Perikatan Nasional (PN).
Dalam kejadian berlaku kira-kira pukul 10.25 malam itu, pihak berkenaan yang terdiri 15 individu cuba menganjurkan flash mob berhampiran lokasi ceramah pentas akhir PN di Kampung Simpang Pelangai di sini.
Pada mulanya, mereka dilihat mengatur flash mob itu ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyampaikan ceramah.
Kumpulan itu kemudian mengambil kesempatan mengangkat gegantung ‘Ingat Jasa Najib’ ketika Dr Mahathir beredar pulang dari program ceramah berkenaan.
Tindakan itu namun tidak disenangi oleh penyokong PN sekali gus hampir mengundang provokasi sesama mereka.
Bagaimanapun ia berjaya dileraikan polis dan mengarahkan mereka beredar dengan segera.
Terdahulu, Dr. Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil sepentas dalam ceramah pentas akhir PN bersempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai.
Kempen pecutan akhir parti gabungan itu juga menampilkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dominic Lau.
Program ini berlangsung dalam beberapa jam sebelum tamatnya tempoh kempen PRK DUN Pelangai pada pukul 12 tengah malam ini. – UTUSAN