SEREMBAN: Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Prof. Madya Dr. Faudzinaim Badaruddin, 58, dilantik sebagai Mufti Kerajaan Negeri Sembilan yang baharu.
Beliau merupakan anak kelahiran Tanjung Ipoh, Kuala Pilah dan juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan itu dilantik ke jawatan tersebut bagi menggantikan Datuk Mohd. Yusof Ahmad yang bersara pada akhir tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pelantikan Faudzinaim itu diharap dapat terus membantu meningkatkan pembangunan syiar Islam di negeri ini.
“Dengan kelayakan dan kemahiran yang melibatkan bidang akidah dan kesufian, saya berharap beliau dapat membantu meningkatkan pembangunan syiar Islam khususnya buat rakyat di Negeri Sembilan.
“Selamat berkhidmat diucapkan semoga jawatan yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan penuh keikhlasan demi Negeri Sembilan yang dikasihi, Insya-Allah,” katanya.
Faudzinaim mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Haji Mohd. Said (SHAMS) Seremban sebelum menyambung pengajian ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Sarjana Muda Pengajian Islam (Kepujian), Fakulti Pengajian Islam.
Beliau kemudian melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana di the School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London seterusnya ke peringkat Doktor Falsafah di universiti yang sama.
Seterusnya beliau menjadi pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Falsafah di Fakulti Pengajian Islam, UKM dan bertugas sebagai pensyarah kanan bermula 1 Februari 2006 sebelum menjadi Profesor Madya bermula Mei 2007 sehingga kini.-UTUSAN.