BENTONG: “Pergi ambil makcik. Pergi ambil makcik. Jangan tinggal dia,” ujar Mohd. Shaari Mat Dom, 84, yang meminta petugas membawa isterinya keluar dari pusat mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (LKTP) Felda Chemomoi.
Dia yang diangkat dengan kerusi oleh petugas dan anggota Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (Rela) ke kereta yang menunggu di luar pusat mengundi berikutan semua kerusi roda disediakan digunakan semua pengundi saluran satu.
Bimbang petugas yang memandu kenderaan pergi meninggalkan isterinya, beberapa kali Shaari meminta supaya membawa isterinya Fauziah Solomon, 86, keluar untuk menaiki kereta yang sama dengannya.
“Mana boleh tinggal makcik. Kami datang sama-sama, balik kenalah sama-sama,” katanya.
Shaari yang merupakan generasi pertama Felda Chemomoi masih bersemangat untuk keluar mengundi walaupun sudah uzur.
“Ini tanggungjawab, kenalah keluar mengundi. Pakcik mengundi bermula 1964 masa umur 21 tahun, dan tak pernah ketinggalan mengundi. Pakcik masuk Felda Chemomoi pada 1971, dan sampai sekarang tetap keluar mengundi walaupun sakit macam mana pun,” kata Shaari.
Sementara itu, seorang warga emas, Jalil Harun, 76, turut keluar mengundi meskipun terpaksa menggunakan khidmat petugas bagi menunaikan tanggungjawab tersebut.
Dia yang terpaksa diusung menggunakan kerusi kerana tidak mampu berjalan tidak mahu melepaskan tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia.
“Saya keluar untuk mengundi, ada petugas yang datang ambil di rumah, dan bawa balik. Lega sebab ada yang membantu. Kalau tak, susah saya nak keluar mengundi,” ujar bapa kepada 10 anak itu.
Jalil yang berasal dari Melaka merupakan generasi pertama Felda Chemomoi, yang menyertai tanah rancangan itu pada 1971. – UTUSAN