KOTA BHARU: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai semalam memperlihatkan sokongan anak muda kepada Kerajaan Perpaduan semakin pulih.
Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan Madani Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, kemenangan lapan daripada sembilan saluran anak muda kepada BN menunjukkan keyakinan mereka kepada kerajaan yang mentadbir negara ketika ini.
Menurutnya, pada masa sama pengundi mula sedar bahawa gabungan Kerajaan Perpaduan Nasional di antara kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan BN adalah yang terbaik buat rakyat dengan meletakan kepentingan hubungan harmoni melibatkan pelbagai kaum.
“Bagaimanapun, kita akui masih banyak lagi perlu diperbaiki berkait prestasi dan tahap keyakinan pengundi-pengundi terutama orang Melayu.
“Hal ini kerana kerjasama gabungan PH dan BN baharu sahaja mencapai setahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi UMNO Kelantan turut menitipkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Besar Pahang di atas kejayaan mempertahankan kerusi DUN Pelangai.
Katanya, kemenangan itu turut dipacu oleh kerja keras jentera BN dan PH yang bertungkus lumus bekerja keras bagi memastikan kemenangan calon Kerajaan Perpaduan.
Pada PRK itu, BN yang menampilkan Datuk Amizar Abu Adam sebagai calon berjaya mempertahankan kerusi DUN Pelangai selepas menewaskan Kasim Samat (Perikatan Nasional) dan Haslihelmy DM Zulhasli (Bebas).
Amizar memperoleh 7,324 undi manakala Kasim Samat (4,375 undi) dan Haslihelmy (47 undi) sekali gus menang dengan majoriti 2,949 undi.-UTUSAN