BENTONG: Meskipun mengidap parkinson, tidak menghalang warga emas, Rokiah Said, 80, untuk keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, hari ini.
Malah, Rokiah yang berkerusi roda antara yang terawal tiba di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (LKTP) Felda Chemomoi pukul 7.15 pagi.
Dia yang ditemani anak perempuannya disambut petugas Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) terus dibawa ke saluran satu.
“Makcik datang awal untuk mengundi sebab ini tanggungjawab yang perlu makcik tunaikan. Biarpun keadaan makcik macam ni, makcik kena datang mengundi. Ini amanah.
“Tidak pernah makcik abai tanggungjawab ini. Setiap kali pilihan raya, memang makcik tidak akan ketinggalan untuk mengundi, dan kalau tak sihat, anak yang akan bawa,” ujarnya ketika ditemui luar pekarangan SMK (LKTP) Felda Chemomoi di sini hari ini.
Sementara itu, Zaleha Sufir, 77, memberitahu, sebagai rakyat Malaysia, dia bertanggungjawab untuk keluar mengundi walaupun keadaan dirinya kurang sihat.
“Makcik sakit lutut… bila jalan jauh, kena pakai kerusi roda. Alhamdulillah, makcik dah tunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
“Siapa pun yang menang nanti, makcik harap dapat buat kerja dengan baik, jangan pinggirkan penduduk di Pelangai ini,” katanya. – UTUSAN