BENTONG: Kerajaan menyalurkan subsidi hampir RM400 juta agar memastikan semua premis kerajaan termasuk hospital menggunakan beras import sebagai langkah meningkatkan bekalan beras tempatan di pasaran.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi langkah tersebut semua premis kerajaan seperti kem tentera, hospital dan polis menggunakan beras import berbanding sebelum ini beras tempatan.
Katanya, buat masa ini jumlah penggunaan beras tempatan melibatkan semua premis kerajaan adalah sebanyak lima peratus.
“Kita akan beri subsidi kepada mereka agar lima peratus (penggunaan beras tempatan) dapat dipulangkan. Maknanya ada lebih di pasaran.
“Keputusan dibuat hari ini. Bila diberitahu Kementerian Kewangan ketika memeterai kontrak, beli sahaja beras import jangan beras tempatan untuk tentera, polis dan jabatan kerajaan untuk mengurangkan tekanan keperluan beras dalam kalangan rakyat.
“Berapa jumlah subsidi tambahan? Hampir RM400 juta, ia bukan percuma,” katanya dalam Majlis Perasmian Karnival Segalanya Felda di Dataran Niaga Felda Chemomoi di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, semua agensi kerajaan termasuk asrama sekolah bakal menggunakan beras import sebagai langkah meningkatkan bekalan beras tempatan di pasaran
Mohamad dalam sidang media hari ini juga memaklumkan kerajaan bersetuju untuk memberikan subsidi sebanyak RM950 setiap tan metrik bagi beras putih import (BPI) di Sabah dan Sarawak mulai 5 Oktober ini.
Beliau berkata, kaedah itu membolehkan beras putih import dijual dengan harga runcit RM31 bagi setiap 10 kilogram.
Kata Perdana Menteri, tempoh seminggu diberikan ekoran ekoran keputusan itu dan kerajaan akan melihat kesan daripada hasil pengumuman berkenaan.
Anwar berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) perlu aktif untuk menghantar beras jika wujud laporan kekurangan bekalan di pasaran.
“Kalau perlu, kerajaan dan Kementerian Kewangan akan tambah peruntukan untuk FAMA bawa beras ini, kita akan bayar kepada FAMA,” katanya.
Menurut Anwar, harga beras di beberapa negara telah meningkat ekoran keputusan 18 negara menghadkan eksport beras.
Namun kata Anwar, sebaliknya harga beras tempatan Malaysia terkawal dengan tambahan subsidi oleh kerajaan.
Katanya, beliau telah meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan agar tidak menaikkan beras tempatan walaupun berlaku kekurangan di pasaran.
“Bekalan beras tidak cukup kerana beli beras import, kerana harga import naik, mereka bekas tempatan,” katanya. – UTUSAN