KUANTAN: Polis masih menjalankan siasatan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Shahril Azman Abd. Halim daripada parti Pas setelah didakwa memainkan sentimen 3R (kaum, agama dan institusi diraja) melalui akaun TikTok miliknya.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, berhubung perkara tersebut, seramai empat saksi sudah diambil keterangan bagi membolehkan siasatan dijalankan.
“Setakat ini kes yang dimaksudkan itu masih dalam siasatan polis. Kita mendapatkan maklumat daripada agensi luar dan kita sedang menunggu lagi (maklum balas),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.
Pada 13 September lalu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Bentong, Ahmed Wafiuddin Shamsuri membuat laporan polis terhadap Shahril Azman yang didakwa memainkan sentimen 3R di akaun TikTok miliknya.
Ahmed Wafiuddin dalam laporannya mendakwa Shahril Azman membuat kenyataan menyentuh hak bumiputera selain turut menyebut nama Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan juga DAP.
Shahril Azman juga didakwa berkempen di Felda Sungai Kemahal yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, sebelum hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu, 23 September lalu. – UTUSAN