Polis keluar 278 saman trafik warga asing, tiada lesen kesalahan tertinggi - Utusan Malaysia

Polis keluar 278 saman trafik warga asing, tiada lesen kesalahan tertinggi

ANTARA warga asing yang diperiksa dalam Op Khas Saman Warga Asing yang dijalankan di Negeri Sembilan bermula 3 hingga 11 Oktober lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan telah mengeluarkan sebanyak 278 saman terhadap pemandu dan penunggang motosikal warga asing atas pelbagai kesalahan dalam operasi khas yang dijalankan awal bulan ini sehingga semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, tiada lesen memandu merupakan kesalahan tertinggi yang direkodkan iaitu 59 saman sepanjang Op Khas Saman Warga Asing yang dijalankan bermula 3 hingga 11 Oktober 2023.

“Kesalahan lain termasuklah 51 saman tidak memakai tali pinggang keselamatan, cukai jalan tamat tempoh (47), tiada perlindungan insurans (25), tiada nombor pendaftaran (15), tidak pamer pelekat ‘P’ (15), tidak memakai topi keledar (15) dan lain-lain kesalahan (51).

“Dalam operasi khas ini juga, sebanyak 35 kenderaan warga asing telah disita iaitu 27 motosikal, tujuh kereta dan sebuah lori atas kesalahan di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, polis kontinjen Negeri Sembilan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama warga asing yang melakukan kesalahan dan gagal mematuhi undang-undang.

“Amaran turut diberikan kepada individu yang membenarkan kenderaan mereka dipandu warga asing tanpa lesen dan menyalahgunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi tujuan perniagaan.

“Pemilik kenderaan tersebut akan berhadapan dengan tindakan tegas di bawah peruntukan undang-undang sedia ada dan kenderaan akan disita,” katanya.

Tambah beliau, tindakan memandu tanpa lesen yang sah boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Menurut Ahmad Dzaffir, pihak polis turut melakukan tiga tangkapan warga asing di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, operasi tersebut diadakan di 23 lokasi tumpuan mengikut daerah di negeri ini termasuk Jalan Rasah dan Jalan Kayu Ara di Seremban, Kilometer 10 Jalan Lukut – Sepang dan Jalan Masuk Jimah Power Plant di Port Dickson , Pekan Kuala Pilah dan Jalan Kuala Klawang di Jelebu.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya