KOTA BHARU: Kelantan United FC melangkah peringkat separuh akhir Piala Cabaran dengan bergaya apabila membelasah seteru setempat Kelantan FC 4-0 pada aksi suku akhir kedua
di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan Sang Kijang Hijau menang dengan agregat 11-0.
Terdahulu, aksi kedua-dua pasukan terpaksa dimulakan pada pukul 10.20 malam selepas permukaan padang stadium digenangi air susulan hujan lebat sebelum itu.
Meskipun merehatkan beberapa tonggak utama, pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-24 menerusi sepakan percuma cantik oleh Mohd. Syazwan Zainon yang tepat menerobos gawang Kelantan FC.
Tersentak dengan jaringan pelawat, Kelantan FC cuba bangkit untuk merapatkan jurang jaringan namun dihampakan oleh ketumpulan penyudah.
Bersambung babak kedua, Morgaro Lima Gomis menambah derita The Red Warriors (TRW) dengan meledakan jaringan kedua Kelantan United pada minit ke-60 selepas tenang menanduk hantaran cantik dari Mohamad Qayyum Marjoni Sabil.
Derita Kelantan FC terus bertambah apabila Royizzat Daud menampan masuk gol ketiga Kelantan United pada minit ke-69 sebelum S. Sharvin melengkapkan malam gemilang Sang Kijang Hijau pada minit ke-72.
Keputusan 4-0 itu kekal hingga tamat perlawanan menyaksikan Kelantan United akan berdepan Kuching City FC pada peringkat separuh akhir.
Ia susulan, Kuching City FC berjaya menewaskan Kedah Darul Aman FC 3-0 pada aksi suku akhir kedua di Stadium Darul Aman, Kedah.-UTUSAN