ALOR SETAR: Kerajaan diminta mempertimbangkan kenaikan harga lantai bagi pembelian padi di kilang-kilang bernilai RM1,200 setiap tan metrik ketika ini yang dianggap sudah tidak relevan serta tidak seiring dengan kenaikan kos input pertanian yang menghimpit pesawah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenaikan harga lantai itu boleh diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2024, Jumaat ini.
Namun, katanya, tidak ada masalah sekiranya kerajaan mengumumkan perkara itu lewat sedikit jika memerlukan lebih masa untuk membuat pertimbangan terbaik.
STABIL
“Langkah itu perlu bagi menstabilkan kembali isu berkaitan padi dan beras dalam negara. Kalau tak mahu umum dalam Belanjawan, mungkin boleh umum lewat sedikit tetapi perkara ini sesuatu yang penting untuk dilaksanakan.
“Walaupun pesawah diberikan subsidi RM500 bagi setiap tan metrik padi, jumlah itu masih tidak cukup bagi menampung peningkatan harga input pertanian. Saya fikir, kalau dapat naik harga lantai belian padi kepada RM1,400 atau RM1,500 pun, itu sudah cukup melegakan pesawah,” katanya.
Petani ketika ini berdepan dilema apabila kilang-kilang padi yang sebelum ini membeli padi dari mereka pada kadar RM1,700 per tan, menurunkan harga secara mendadak kepada harga lantai sejak beberapa hari lalu.
Para pengilang memberi alasan terpaksa berbuat demikian kerana tidak mahu menanggung rugi berikutan kos pembungkusan yang meningkat selain terikat dengan keputusan kerajaan tidak mahu menaikkan harga beras putih tempatan (BPT).
LAMA
Sementara itu, Mahfuz yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Kedah berkata, seiring dengan keputusan kerajaan menaikkan harga lantai belian padi oleh kilang, kerajaan juga perlu menyemak harga siling BPT di pasaran yang sudah sekian lama tidak dinaikkan.
“Bagi memastikan golongan B40 tidak terbeban dengan kenaikan harga BPT, kerajaan boleh laksana subsidi bersasar kepada golongan berkenaan. Ketika ini, seolah-olah petani menyediakan makanan untuk semua golongan termasuk mereka yang kaya serta pendatang asing sedangkan pesawah inilah yang menampung segala beban kenaikan kos input pertanian.
“Dengan pelaksanaan subsidi bersasar nanti, itu bermakna pendatang asing pun perlu membeli beras pada harga sebenar. Keadaan itu mampu membantu pesawah untuk memperoleh pendapatan lebih setimpal,” katanya. – UTUSAN