BERA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Imigresen menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan memudahkan permohonan visa bagi membantu merancakkan kembali aktiviti ekonomi selepas negara dibelenggu kemelut Covid-19.
Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan polisi sekarang, proses permohonan visa dilihat antara yang berpotensi untuk menyumbangkan kepada kerancakan ekonomi menerusi segmen pelancongan.
“Jadi disyorkan kepada KDN oleh Perdana Menteri atas nama Program Liberalisasi Visa maksudnya memudacara lagi proses tersebut. Jadi KDN di bawah Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Imigresen dan sebagainya mereka telah meneliti kembali semua perkara itu.
“Ini termasuk ke arah pemberian ‘Visa Arrival’, maknanya mereka (pelancong) sampai, urusan visa dilakukan di pintu masuk berbanding kalau sebelum ini mereka masuk baru mereka pohon (visa).
“Yang kedua adalah ‘Multipal Entry Visa’, maknanya boleh masuk mana-mana pintu masuk dari mana-mana negara, bukan dari negara asal sahaja. Ini akan memberi kelebihan kepada 22 negara bagi ‘Visa Arrival dan 25 buah negara (bagi proses Multipal Entry Visa)’,”katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Depot Imigresen Kemayan, di sini hari ini.
Menurut Saifudin, bagi mengembangkan lagi sektor pelancongan negara, permohonan visa kepada bakal haji dari pelbagai negara Islam serantau seperti Indonesia, Filipina dan Thailand yang menjadikan Malaysia sebagai transit boleh dilanjutkan sehingga tujuh hari.
“Kita tidak mahu mereka transit semalaman untuk pergi dan balik, yang ini kita akan perluaskan boleh jadi tujuh hari dan mereka boleh tinggal lama dalam tempoh transit.
“Inisiatif-inisiatif ini adalah untuk memberi kemudahan. Jadi kita tahu perubahan ini dari satu sisi kita akan tahu rekod jumlah pelancongan yang masuk ke negara kita ramai dari mana. Bila kita buat beberapa perubahan, ini tujuan memberikan keadaan yang lebih mudah,”katanya.
Sementara itu, ketika ditanya tentang peruntukan KDN beliau berkata, menjelang pembentangan bajet minggu depan, KDN telah menyenaraikan 15 perkara untuk diluluskan.
Beliau memberitahu antaranya ialah mewujudkan tiga lagi premis penempatan khas sementara yang dikenali Baitul Mahabbah bagi penghuni tahanan kanak-kanak iaitu di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
Jelasnya, penempatan Baitul Mahabbah Jabatan Imigresen yang pertama telah diwujudkan di Kompleks Kediaman Awam (KKKA) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bertujuan memastikan kebajikan kanak-kanak terbabit yang berada di depot Imigresen terus terpelihara dan selamat.
“Penempatan ini membabitkan kanak-kanak yang mempunyai penjaga atau sebaliknya dan ia adalah bersifat sementara sehingga urusan dokumentasi mereka (warga asing) dapat disiapkan bagi tujuan dihantar pulang ke negara asal.
“Andai kata bajet pada 13 Oktober ini dipenuhi, Insya Allah tahun depan, satu Baitul Muhabbah di Nilai itu (yang pertama), kita akan dapat lagi tambahan tiga untuk kita dilaksanakan.
“Jadi, berdikit-dikit, lebih kurang 1,400 tahanan kanak-kanak itu kita akan dapat keluarkan mereka ke satu premis yang lebih baik , lebih manusiawi sesuai dengan prinsip kerajaan Madani,” ujarnya. – UTUSAN