KUALA LUMPUR: Cadangan mewujudkan sijil khusus melibatkan pekerjaan di ladang dan memperkenalkan waktu kerja secara fleksibel sedang dipertimbangkan bagi menarik minat anak tempatan menceburi sektor perladangan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, ia juga sebahagian daripada usaha jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan pekerja asing di negara ini.
“Masalah untuk mencari pekerja ladang, anak generasi muda tidak berminat bekerja di ladang dan kebergantungan kepada buruh asing amat tinggi.
“Jadi, ada beberapa cadangan yang dibangkitkan, antaranya membangunkan satu silibus menerusi Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) supaya kerja di ladang disijilkan. Kita juga ada cadangan supaya ada waktu bekerja fleksibel atau minggu fleksibel kepada anak-anak muda,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, waktu kerja fleksibel boleh diwujudkan sama seperti yang dipraktikkan oleh syarikat dalam sektor minyak dan gas.
“Kalau mereka bekerja ladang sepanjang masa, mungkin agak membosankan, sebab dalam sektor minyak dan gas, dia boleh balik dua minggu sebelum kembali bekerja.
“Ini antara cadangan yang dilontarkan dan sedang cuba dikaji bersama kementerian lain supaya kita dapat mengajak anak muda untuk bekerja di ladang supaya kita tidak terlalu bergantung kepada buruh asing,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (PN-Maran) mengenai tindakan kerajaan bagi menarik minat pekerja tempatan untuk menceburi sektor perladangan. – UTUSAN