KOTA BHARU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perlihatan) Kelantan sudah memulakan siasatan berkait seorang lelaki Orang Asli yang maut dibaham harimau semasa keluar menyumpit di kawasan ladang kelapa sawit di Pos Pasik, Gua Musang, kelmarin.
Pengarahnya Mohamad Hafid Rohani berkata, siasatan yang dilakukan bersama pasukan mencari dan menyelamat (SAR) itu bertujuan mengenalpasti punca dan sebab kematian sebenar.
Menurutnya, sejurus menerima maklumat Perhilitan Kelantan bersama polis, bomba dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) telah bergerak ke lokasi kejadian pada pukul 9 pagi tadi.
“Jarak antara bandar Gua Musang dengan Pos Pasik lebih kurang 85 kilometer dan mengambil masa antara tiga hingga empat jam untuk sampai ke lokasi serta bergantung kepada keadaan cuaca.
“Akses masuk ke kawasan itu hanya boleh menggunakan kenderaan pacuan empat roda melalui jalan ladang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Hafid memberitahu, kes kematian melibatkan serangan harimau ke atas Orang Asli pernah berlaku pada 7 Januari tahun lalu di kawasan Pos Bihai.
Katanya, harimau belang yang menyerang mangsa terpaksa ditembak mati kerana telah bertindak luar kawalan kepada anggota Perhilitan semasa operasi.
“Mengikut rekod aduan konflik hidupan liar, pihaknya hanya menerima aduan awam melibatkan gangguan gajah liar sahaja,” ujarnya.
Utusan Online hari ini melaporkan, seorang lelaki Orang Asli dikhuatiri maut dibaham seekor harimau ketika keluar menyumpit seorang diri di kawasan ladang kelapa sawit di Pos Pasik di sini, kelmarin.
Mayat, Pisie Amud, 25, dari Kampung Sugi, Pos Pasik ditemukan penduduk kampung semalam dengan kesan cakaran haiwan berkenaan pada bahagian kepala dan badan, selain sebelah kaki kirinya sudah hilang.-UTUSAN