Percikan darah di dinding katil ada DNA CEO Cradle Fund - Utusan Malaysia

Percikan darah di dinding katil ada DNA CEO Cradle Fund

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kesan percikan darah  ditemukan di dinding atas kepala katil Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan berpadanan dengan asid deoksiribonukleik (DNA) lelaki berkenaan.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Amril Johari, kehadiran percikan darah itu juga menunjukkan mayat Nazrin telah dialihkan.

“Bukan itu sahaja, kewujudan percikan darah pada dinding di bahagian kepala katil yang mana kemudian disahkan positif DNA si mati turut membuktikan perkara yang sama. Bagaimana boleh dijumpai darah si mati pada dinding sedangkan mayat si mati dijumpai di atas lantai?,”katanya.

Pendakwa raya itu sekali lagi menyatakan, saksi pendakwaan ke-39, Asisten Superintendan, Mohd. Nizam Husain (pegawai forensik mengkaji percikan darah) berkata, kesan percikan darah itu juga konsisten dengan percikan darah akibat dipukul oleh objek tumpul.

Pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Mohd. Nizam dalam keterangannya menyatakan kesan darah tersebut bukanlah daripada tembakan kerana kesan percikan darah akibat tembakan akan berbentuk halus manakala kesan percikan darah akibat letupan akan lebih banyak, rapat-rapat dan lebih halus.

Menyentuh mengenai dakwaan responden bahawa percikan darah itu hanya ditemukan kira-kira lima bulan selepas kebakaran berlaku, Mohd. Amril memaklumkan, saksi sendiri telah memberikan penjelasan munasabah yang mana kesan itu dijumpai selepas kesan jelaga pada dinding tersebut telah berkurangan.

BERHUJAH

Beliau berkata demikian ketika berhujah dalam rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Samirah, 48, yang juga balu Nazrin, serta dua remaja yang kini berumur 20 dan 17 tahun selepas memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Pada 23 Jun 2022, Jabatan Peguam Negara memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 21 Jun 2022 yang membebaskan Samirah dan kedua-dua remaja daripada pertuduhan membunuh Nazrin.

Pada 30 Jun 2022, Samirah dan kedua-dua remaja turut memfailkan rayuan bagi mencabar penemuan fakta tertentu oleh Mahkamah Tinggi termasuk kebakaran yang berlaku di bilik Nazrin “dilakukan dengan sengaja”.

Berhubung hujah pembelaan yang mempertikaikan mengenai penemuan petrol di bilik kejadian oleh saksi SP14 sedangkan anjing pengesan tidak menemukan sebarang kesan atau bau bahan bakar itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim memberitahu, keterangan saksi tersebut telah disokong oleh tiga orang saksi pendakwaan yang lain.

Tiga saksi tersebut ialah Pegawai Forensik Jabatan Bomba, Abdul Halim Zulkilfli (SP15); Ketua Pegawai Siasatan Kebakaran, Edwin Galan Anak Teruki (SP20) dan Pegawai Bomba, Ahmad Subhaan Mohamad (SP51).

BAHAN

“Semasa pemeriksaan balas, SP15 menyatakan bahawa apabila K9 dapat mengesan bahan accelerant, sampel yang dihantar ke makmal juga akan positif. Namun, ada beberapa kes di mana K9 tidak dapat kesan tetapi apabila dihantar ke makmal, keputusan adalah positif.

“SP20 juga turut mengakui anjing K9 ini tidak kesan sebarang petrol atau cecair mudah terbakar di tempat kejadian namun perkara ini sebenarnya bergantung kepada pengendali. Semasa SP51 memberikan keterangan, beliau turut mengesahkan peranan K9 ini hanyalah untuk membantu pengesanan sahaja.

“Perayu menghujahkan bahawa dapatan sampel daripada unit K9 bukanlah sesuatu yang ‘absolute’ kerana sampel tersebut masih perlu dihantar ke makmal bagi tujuan analisa. Hasil analisa daripada makmal oleh Ahli Kimia adalah merupakan satu analisis yang ‘absolute’ (muktamad),’katanya.

Hujahan di hadapan panel tiga hakim yang diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azhahari Kamal Ramli bersambung 23 Oktober ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN