KLUANG: Akibat gagal mengawal motosikal ditunggangnya, seorang lelaki maut apabila melanggar batu pembahagi jalan di Kilometer 17.5, Jalan Benut-Simpang Renggam awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pukul 1.13 pagi ketika mangsa, Mohd. Zamree Zakaria, 34, yang menunggang motosikal Yamaha LC dalam perjalanan dari Simpang Renggam ke Benut.
“Mangsa dipercayai secara tiba-tiba hilang kawalan ke atas motosikal ditunggangnya sehingga menyebabkannya melanggar batu pembahagi jalan sebaik sampai di lokasi kejadian.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian dalaman badan serta kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN