Penjawat awam mengaku bersalah curi lembu, ingkar arahan polis

Penjawat awam mengaku bersalah curi lembu, ingkar arahan polis

TERTUDUH (tengah) diiring oleh anggota polis semasa hadir untuk sesi perbicaraan di Mahkamah Majistret, Kota Bharu, Kelantan-UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang penjawat awam mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan kes mencuri lembu dan ingkar arahan polis sehingga berlaku kemalangan di Machang pada minggu lalu.

Tertuduh, Mohd. Balian Sidek,43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Amal Razim Alias.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencuri lembu milik Abdul Manaf Arifin, 52, di lorong depan sebuah rumah di Kampung Joh Labok, Machang dekat sini kira-kira pukul 5.30 pagi pada 25 September lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Balian didakwa mengingkari suatu perintah yang diisytiharkan oleh seorang anggota polis yang meminta tertuduh menyerah diri.

Bagaimanapun, tertuduh bertindak melarikan diri dengan kereta sehingga menyebabkan berlakunya pelanggaran di Jalan Labok, Machang pada waktu dan tarikh sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 118 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga sebulan atau denda sehingga RM400 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nursyafiqah Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nursyafiqah menawarkan jaminan kepada tertuduh sebanyak RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan yang dihadapinya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin sebanyak RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu selain menetapkan Ahad ini untuk prosiding jatuh hukum dan fakta kes. 

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, tindakan ganas pencuri lembu yang cuba menyerang polis sebelum melarikan sebuah kereta peronda polis (MPV) mengundang padah apabila dia mati selepas terkena beberapa das tembakan dalam kejadian di Tok Bok, Machang.

Kejadian pada pukul 4.30 pagi itu berlaku apabila kegiatan haram suspek berusia 33 tahun tersebut bersama rakannya, 43, disedari oleh orang awam selepas melihat sebuah kereta jenis Toyota Vios dalam keadaan mencurigakan sebelum menghubungi polis.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, sebelum itu, suspek baru selesai menyembelih seekor lembu yang dicuri di kawasan berkenaan.

Katanya, suspek terus melarikan diri dengan menaiki kereta berkenaan melalui Jalan Machang ke arah Kota Bharu sebaik menyedari kehadiran polis.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN