Penjara Pengkalan Chepa, Marang, Kota Kinabalu sesak - Utusan Malaysia

Penjara Pengkalan Chepa, Marang, Kota Kinabalu sesak

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 75,629 banduan menghuni di 40 penjara di seluruh negara, ketika ini melebihi 71,476 kapasiti sedia ada ketika ini.

Lebihan banduan itu meliputi 4,153 penghuni atau 5.8 peratus, dengan 13 penjara dianggap lebih kapasiti termasuk Kota Kinabalu (Sabah), Pengkalan Chepa (Kelantan) dan Marang (Terengganu) manakala 15 penjara lagi kurang kapasiti termasuk penjara baharu di Lahad Datu (Sabah).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beberapa langkah diambil bagi mengurangkan kesesakan penjara antaranya pengenalan parol, pembebasan berlesen dan perintah kehadiran wajib.

Menurut beliau, kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan penahanan di rumah (home detention).

“Sejak 2008, lebih 40,000 parol dikeluarkan, pembebasan berlesan sehingga 23,000 orang, perintah kehadiran wajib pula 6,000 orang, jadi mereka berada di luar dan penjara kurang sesak.

“Kita juga akan laksanakan hukuman alternatif misalnya kita sedang meneroka idea melaksanakan penahanan di rumah, mereka tak berada di tembok penjara, mereka berada di luar tapi dengan pemasangan gajet, kita sedang di fasa akhir untuk menguruskan sedikit tafsiran undang-undang serta alat belenggu seperti gari, alat yang nak dipakaikan kepada penahanan rumah, jadi ada sedikit kena selaras dengan Peguam Negara,” katanya ketika sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

MEMINDA

Katanya, kerajaan juga berhasrat meminda Akta Penagih Dadah kerana ia menjadi punca kemasukan penghuni paling ramai di penjara.

“Kes penjara selalunya terkait kes dadah, kalau pinda akta terutama kesalahan dadah dalam badan, mereka terus dihantar ke pusat pemulihan, bukan ke penjara jadi akan kurang sesak.

“Dalam penjara juga ada 35 peratus tahanan reman, kadang-kadang tempoh tahanan lebih lama daripada pendakwaan mereka akibat kes dadah lambat terima laporan Jabatan Kimia jadi ini satu kezaliman buat mereka.

“Bila dituduh di mahkamah, hukuman pendakwaan barangkali kurang daripada tempoh lama di penjara, jadi sekarang Jabatan Penjara, Peguam Negara dan Jabatan Kehakiman bincang adakah boleh kes ini diklasifikasikan sebagai NFA (tiada tindakan lanjut),” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai langkah yang diambil bagi mengatasi isu kesesakan banduan di dalam penjara serta program-program yang dikenal pasti untuk membantu bekas banduan untuk meneruskan kehidupan mereka supaya tidak terjejak kembali dalam dunia jenayah.

Setakat ini, katanya, seramai 16,000 banduan keluar penjara dengan kemahiran bersijil, dengan kolaborasi bersama 325 syarikat yang diletakkan di pusat koreksional dengan meraih pendapatan bulanan, sekali gus mengurangkan kesesakan penjara dan mempunyai kemahiran apabila keluar penjara.

BEBAS

Katanya, Jabatan Penjara juga menempatkan banduan di 14 rumah pengantara setelah bebas kerana ada yang tidak diterima keluarga dan masyarakat.

“Komitmen kita adalah kurangkan jumlah penghuni penjara, ketika ini nisbah 191 penghuni adalah bagi setiap 100,000 penduduk, banduan kita berada di lingkungan 70,000 itu agak tinggi, munasabah jika lingkungan 145 bagi setiap 100,000 penduduk.

“Kalau penghuni warga asing, selepas tempoh menjalani hukuman, sebelum hantar pulang ke negara masing-masing, kita letak di imigresen, tapi ini menyebabkan kita belanja puluhan juta ringgit untuk menguruskan kerana makan sahaja RM450 seorang sebulan, jumlah ini sangat tinggi.

“Sebab itu kita profilkan setiap penghuni terutama yang menerima hukuman tiga tahun ke bawah dan setakat ini ada 18,000 orang, kita profilkan lagi pesalah kali pertama, mereka risiko rendah dan diberi pertimbangan oleh panel dan keputusan mahkamah untuk dimasukkan ke program tertentu,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya