SEREMBAN: Peniaga-peniaga di kawasan Little India di bandar ini menuntut campur tangan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bagi menyelesaikan isu pemindahan lokasi penganjuran karnival Deepavali.
Menurut mereka, perpindahan dari lokasi karnival sejak 15 tahun itu iaitu di Jalan Dato’ Lee Fong Yee ke Taman AST dibuat pihak penganjur adalah tanpa persetujuan mereka.
Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Jalan Little India Seremban, M. Alagappa berkata, pihaknya malah hairan mengapa keputusan perpindahan lokasi itu diadakan secara mengejut dan tiada sebab kukuh diberikan kepada mereka oleh penganjur.
Jelasnya lagi, lokasi sedia ada juga sudah dikenali ramai sebagai Little India dan kawasan itu serta jalan-jalan sekitarnya seperti Jalan Yam Tuan juga sememangnya menempatkan kedai-kedai peniaga terlibat yang sentiasa menantikan penganjuran karnival berkenaan bagi merancakkan jualan mereka.
“Kami mahu tradisi penganjuran karnival Deepavali di Jalan Dato’ Lee Fong Yee ini diteruskan, selama ini iaitu 15 tahun penganjuran tidak ada apa-apa masalah sama ada daripada segi keselamatan dan keselesaan. Jalan ini ditutup hanya bermula waktu petang hingga malam sahaja tiada isu kesesakan jalan raya sangat.
“Soal kebersihan juga kami beri perhatian dan titik beratkan dengan melantik kontraktor pembersihan dan selama 15 tahun, semua pekedai dan peniaga di sini sudah menerima dan serasi dengan sistem penganjuran karnival ini,” katanya lagi.
Alagappa menambah, keputusan menukar lokasi penganjuran karnival tersebut sesuatu yang tidak adil buat peniaga-peniaga dan pemimpin negeri perlu membela mereka dalam hal berkenaan.
Sementara itu, Naib Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Jalan Little India Seremban, P. Arvindran menegaskan, sama ada pihak berkuasa tempatan (PBT) membenarkan ataupun tidak, karnival berkenaan akan dijalankan atas nama persatuan di lokasi sedia ada.
“Kalau karnival diadakan di lokasi baharu, apa jadi dengan peniaga-peniaga di sini? mereka telah keluarkan belanja yang besar, sama ada mereka beri kebenaran ataupun tidak, kami akan buat juga karnival ini perayaan Deepavali hanya tinggal dua minggu sahaja lagi,” katanya.-UTUSAN.