BENTONG: Semua pengundi berdaftar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai esok diseru membuat pilihan tepat dengan memilih calon Barisan Nasional (BN) demi masa depan yang lebih baik di kawasan berkenaan.
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh berkata, calon BN, Datuk Amizar Abu Adam merupakan pilihan terbaik sebagai tokoh muda berwibawa dan anak tempatan di Pelangai, jadi tiada alasan untuk pengundi menolaknya.
“Saya juga menyeru kepada pengundi luar yang akan pulang petang ini atau esok pagi agar dapat memberi sokongan kepada calon BN.
“Kita perlu menang di Pelangai sebagai kelangsungan untuk bawa pembangunan sebelum ini oleh Tan Sri Adnan Yaakob dan Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
“Jadi, jika kita salah pilih ia satu kesilapan besar. Saya sekali lagi merayu supaya semua pengundi memberi kepercayaan tinggi dan penuh yakin kepada calon BN bagi meneruskan kesejahteraan dan pembangunan di Pelangai ini,” katanya di sini hari ini.
Kerusi N36 Pelangai, diisytiharkan kosong susulan kematian Johari yang terlibat nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie di Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Susulan itu, SPR menetapkan 23 September ini sebagai hari penamaan calon dan 7 Oktober hari pengundian PRK DUN Pelangai membabitkan 16,456 pemilih berdaftar.
Johari yang kali pertama bertanding mewakili BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu menang di Pelangai dengan majoriti 4,048 undi.
Allahyarham menewaskan Kasim (3,260 undi); Ahmed Wafiuddin Shamsuri dari Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memperoleh 65 undi. – UTUSAN