BINTULU: Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak di sini mahu pembangunan ekonomi yang terbuka, sealiran dengan pembangunan negeri dan melibatkan semua peringkat peniaga dan penduduk dibawa ke kawasan itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pegawai Perhubungan Bintulu Youth Social Community (BYSC) Muhamad Firdaus Jumaludin berkata, dengan itu, pembangunan itu akan menyumbang kepada hasil untuk kerajaan negeri seperti aspirasi Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dalam masa yang sama, katanya, kebimbangan kuasa beli golongan B40 berada di bawah paras minimum merupakan antara cabaran kepada wakil rakyat yang dipilih nanti.
KUASA BELI
“Kekurangan kuasa beli golongan B40 boleh menyebabkan mereka terdedah kepada salah urus kewangan, hutang yang melampau dan mungkin terjerumus dalam penyalahgunaan dadah.
“Sehubungan itu, satu ekosistem ekonomi yang bebas rasuah, tiada perniagaan haram, penyalahgunaan kuasa dan penindasan golongan muda perlu diperkasakan,” tambahnya lagi.
Beliau berkata, impak terbesar setakat ini yang boleh dilihat di kawasan Jepak adalah pembangunan Jepak Jaya, yang diharapkan akan memberi peluang kepada anak-anak muda untuk memajukan ekonomi mereka dan setempat.
“Secara amnya, pembangunan di Jepak Jaya membuka satu perspektif baharu kepada semua warga Jepak lebih-lebih lagi kepada pengundi-pengundi baru yang berumur 18 tahun ke atas.
“Bagaimanapun, perlu diberikan perhatian bahawa masih ramai lagi golongan B40 di Jepak yang masih goyah menghadapi keadaan ekonomi yang mencabar hari ini,” dedahnya.
Sehubungan itu, menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Jepak pada 4 November kelak, beliau yakin Gabungan Parti Sarawak (GPS) mampu memenangi kerusi tradisi yang diwarisi selama enam penggal sejak 1996.
PRK DUN Jepak menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) yang diwakili Chieng Lea Phing, GPS (Iskandar Turkee) manakala Stevensen Joseph Sumbang (Parti Bumi Kenyalang).
Selain rekod yang cemerlang, slogan ‘Sarawak First’ yang dibawa GPS memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kepentingan mereka akan didahulukan.
Pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) Sarawak 2021, Datuk Dr. Talib Zulpilip mengekalkan kerusi Jepak dengan 6,277 undi, menewaskan Rabaah Tudin dari PSB (2,034 undi), Stevenson dari PBK (587 undi) dan calon bebas; Tuah Kazan (141 undi). – UTUSAN