SEREMBAN: Sebuah kilang membuat tilam berasaskan bahan mentah getah di Jalan Jelebu di sini didapati tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).
Pelanggaran Akta 446 itu dikesan hasil pemeriksaan pihak Ibu Pejabat, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) terhadap penginapan berbentuk kontena di dalam premis kilang itu yang didapati tidak mempunyai Perakuan Penginapan daripada pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK)
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud memberitahu, keadaan penginapan pekerja itu didapati berada dalam keadaan tidak kondusif dengan tidak mempunyai pengudaraan yang baik serta struktur yang sudah berkarat.
“Keadaan ini membahayakan pekerja-pekerja di sini, kami juga mendapati bahawa selain ruang yang panas, tempat masak dan mandi juga tidak diurus dengan baik, ini juga menimbulkan keadaan tidak selesa kepada pekerja.
“Aliran air di dapur juga tidak menepati seperti apa yang digariskan oleh Kementerian Kesihatam kerana ia boleh menyebabkan pembiakkan nyamuk Aedes,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai pemeriksaan Op Matela di kilang berkenaan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, operasi tersebut turut dijalankan bersama pihak JTK Negeri Sembilan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan juga polis.
“Majikan ini menggajikan seramai 160 lebih pekerja dengan komposisi 60 orang pekerja tempatan dan selebihnya adalah pekerja asing dari Nepal dan Bangladesh.
“Majikan telah menyediakan penginapan dalam dua bentuk iaitu rumah pangsapuri dan penginapan jenis kontena. Penginapan berupa pangsapuri telah mendapat perakuan penginapan daripada JTK tetapi bagi penginapan berbentuk kontena tidak mempunyai perakuan penginapan dan majikan belum membuat sebarang permohonan.
“Pihak JTK akan membuat siasatan terperinci bagi melihat pematuhan terhadap akta-akta lain termasuklah Akta Kerja dan Perintah Gaji Minimum. Pihak JTK Negeri Sembilan dianggarkan akan membuka sebanyak 3 Kertas Siasatan (KS) di bawah Seksyen 24D Akta 446,” katanya.
Jelas Mustapha, kesalahan-kesalahan lain di bawah jabatan dan agensi yang hadir bersama dalam operasi berkenaan akan diambil tindakan susulan secara terperinci selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah bidang kuasa jabatan dan agensi yang terbabit.-UTUSAN.