MARAN: Warga Felda Seroja Jengka 18 di sini turut menzahirkan solidariti kepada rakyat Palestin yang berdepan penindasan rejim Israel.
Kira-kira 1,000 penduduk melaungkan ‘Hidup Gaza’ dan ‘Free Palestine’ sempena Himpunan Peneroka Bersama Palestin di perkarangan Masjid Nurul Huda Jengka 18 di sini.
Perhimpunan diketuai Ketua Peneroka Felda Seroja Jengka 18, Mat Amin Lebai Shafie yang turut dihadiri oleh Pegawai Khas Agama kepada Menteri Besar, Yunan Abdul Samad.
Yunan dalam ucapannya menggesa umat Islam terus mengadakan solat sunat hajat dan berdoa buat rakyat Palestin yang sedang menderita akibat serangan rejim Israel.
“Inilah masanya semua golongan masyarakat termasuk warga Felda mempamerkan sokongan padu agar bumi dan rakyat Palestin dapat dipertahankan khususnya Masjid Al-Aqsa,” katanya di sini hari ini.
Menurut Yunan, umat Islam mempunyai alasan kukuh terus mengecam sekeras-kerasnya perbuatan kejam pendatang haram Yahudi terhadap rakyat Palestin.
“Kerajaan Israel perlu dipertanggungjawabkan atas pelanggaran hak asasi manusia dan pencabulan undang-undang antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, Zionis terlalu melampau apabila turut melakukan pengusiran secara paksa terhadap rakyat Palestin daripada kediaman mereka termasuk pengeboman ke atas hospital.
“Warga Felda bersama masyarakat Islam seluruh dunia terus mengecam Israel dan tidak berhenti mencari penyelesaian pergolakan dan gencatan senjata di Palestin.
“Serangan kejam Israel terhadap rakyat Palestin sengaja mencabar umat Islam dengan menyerang saudara-saudara kita di bumi Palestin menyebabkan ribuan mati termasuk wanita dan kanak-kanak,” katanya. – UTUSAN