TEMERLOH: Persatuan Penduduk Taman Chatin Bestari (TCB) di Mentakab di sini menzahirkan solidariti terhadap Palestin dengan bergotong-royong menghasilkan bendera gergasi negara terbabit.
Pengerusinya, Mohd. Fadzil Bidin berkata, walaupun idea itu tercetus dalam tempoh singkat, namun berjaya direalisasikan hasil semangat hampir 200 penduduk di TCB.
Menurutnya, penduduk menghulurkan sumbangan dan menyumbangkan tenaga bagi menyiapkan bendera bersaiz 6×12 meter untuk dipasang berhampiran taman tersebut.
“Kami terpanggil untuk bersolidariti kepada penduduk Palestin. Kita sedia maklum yang kita tidak dapat bersama mereka untuk berjuang menentang Israel di sana.
“Oleh itu, dengan rasa kasih sayang kepada saudara kita di Gaza, maka kami bersatu hati menzahirkan jiwa dan semangat terhadap Palestin yang sedang berjuang menentang Israel,” katanya di sini hari ini.
Fadzil berkata, bendera gergasi Palestin menjadi saksi bahawa penduduk TCB dan rakyat negara ini akan terus bersama dan menyokong saudara Islam di Palestin.
“Palestin tidak bersendirian, kami ada bersama anda. Keganasan yang tidak berperikemanusian oleh rejim zionis ini harus dihentikan segera.
“Kepada Allah SWT kami berdoa agar Palestin merdeka dan Israel akan hancur kelak. Kembalikan bumi Palestin kepada penduduknya,” katanya.
Beliau juga menghargai komitmen seluruh penduduk TCB yang menyumbang kepada usaha terbabit serta berterima kasih kepada jawatankuasa persatuan penduduk atas kejayaan program tersebut.
“Juga sokongan Kedai Kaid Johar Temerloh kerana menyokong penghasilan bendera ini,” ujarnya. – UTUSAN