BACHOK: Penantian puluhan tahun seorang pemetik kelapa untuk memiliki lesen memandu secara sah akhirnya menjadi kenyataan apabila dia lulus ujian litar pemanduan motosikal sekali gus menerima lesen memandu B2 percubaan menerusi program Lesen P Mylesen (B2) Percuma di sini hari ini.
Mohd. Sanusi Tam Abdullah, 59, yang merupakan mualaf menjadi salah seorang daripada 210 individu dari golongan B40 menerima manfaat disediakan oleh kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan Malaysia.
Berkongsi detik gembira itu, Mohd. Sanusi berkata, debaran dan perasaan takut selain kali menunggang motosikal kerana bimbang terserempak dengan anggota polis atau Jabatan Jalan Pengangkutan Jalan (JPJ) hilang sejurus menerima lesen memandu yang sah.
Menurutnya, pekerjaan memetik buah kepala menggunakan beruk sebelum ini agak terbatas kerana bimbang berdepan tindakan undang-undang kerana menunggang motosikal tanpa lesen.
“Saya sebelum ini tidak mampu untuk membiayai kos untuk mendapatkan lesen memandu disebabkan kesempitan.
“Pendapatan harian sebagai pemetik kelapa hanya cukup untuk menyara hidup enam orang anak. Terima kasih kepada kerajaan dan JPJ yang membantu dan memudahkan proses mendapatkan lesen yang sah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Majlis penyampaian lesen berkenaan disempurnakan Pengarah JPJ negeri, Mohd. Misuari Abdullah yang turut dihadiri Pengarah Urusan Akademi Memandu KIST, Noor Haslina Abdullah.
Seorang lagi penerima lesen B2, Rohani Mat Roni, 49, dari Kampung Kandis, berkata pemilikan lesen menunggang motosikal yang sah membolehkannya mengambil anak sekolah tanpa rasa takut sebagaimana sebelum ini.
Katanya, program yang dilaksanakan oleh kerajaan menerusi JPJ banyak memudahkan rakyat terutama golongan miskin termasuk boleh menggunakan motosikal yang ada untuk menjana ekonomi menerusi perniagaan bergerak secara kecil-kecilan.
“Sebelum ini saya takut untuk mengambil lesen untuk berdepan dengan proses ujian dan sebagainya. Masalah itu sebenarnya berjaya diatasi dengan bimbingan dan tunjuk ajar guru akademi memandu dan anggota JPJ Kelantan yang turut turun ke lapangan,” ujarnya.-UTUSAN