TUMPAT : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 980,000 batang rokok seludup selepas menahan seorang pemandu lori dalam serbuan di persimpangan lampu isyarat di pekan Melor, di sini pada 18 Oktober lalu.
Suspek berusia 40 tahun itu ditahan pada pukul 11.30 malam sejurus pihak JKDM Kelantan menerima maklumat berkait dengan aktiviti berkenaan.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, sejurus ditahan sepasukan anggota bertugas telah melakukan pemeriksaan ke atas lori tersebut dan menjumpai beberapa kotak yang dibungkus menggunakan plastik hitam.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati kotak-kotak mengandungi rokok seludup bernilai RM765,380 termasuk cukai.
“Suspek direman selama seminggu bermula 19 Oktober lalu bagi membantu siasatan berkait dengan rampasan tersebut.
“Kita tidak menolak kemungkinan rokok ini diseludup dari negara jiran menggunakan lalaun laut. Selain itu, rokok-rokok tersebut dipercayai untuk pasaran luar Kelantan,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di sini hari ini.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, suspek menggunakan bertutup dengan tujuan mengaburi pihak penguatkuasa bagimanapun gagal.
Katanya, disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.-UTUSAN